Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Program NADI x Komuniti Madani: Optimumkan Perkhidmatan NADI Kepada Masyarakat

By 12 Februari 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Mardah Omarsah/Zainudin Nurdin/ NADI Pekan Beluran (Beluran)

BELURAN, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Program NADI x Komuniti Madani memberi peluang kepada masyarakat memperoleh kemahiran baru dan sebagai nilai tambah dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidup serta ekonomi rakyat pelbagai peringkat umur.

Bekerjasama dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pekan Beluran, program berkenaan juga dilaksanakan sebagai platform kepada komuniti untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perkhidmatan yang ditawarkan.

Ryan ketika menyampaikan taklimat tentang pengenalan NADI kepada peserta program NADI X Komuniti MADANI.

Pengurus NADI Pekan Daerah Beluran, Ryan Gush, berkata, program seumpamanya berupaya meningkatkan literasi digital dalam kalangan masyarakat bukan hanya di kawasan bandar malah di kawasan pedalaman.

“Melalui Program NADI x Komuniti, kami berharap dapat menyediakan satu platform inklusif yang membolehkan komuniti mendapatkan maklumat terkini mengenai perkhidmatan kerajaan dan meningkatkan kemahiran digital mereka, terutamanya di kawasan luar bandar.

“Antara pengisian program ini termasuk ceramah, sembang santai, edaran risalah, latihan kemahiran asas ICT, kesedaran keselamatan dalam talian, pemeriksaan kesihatan, dan pengenalan kepada perkhidmatan pintar NADI,” katanya ketika ditemui dalam program Program NADI x Komuniti Madani di sini semalam.

Dalam pada itu, Pemangku Pegawai Penerangan Daerah Beluran, Mohd Mardah Omarshah, berharap agar masyarakat luar bandar dapat menggunakan sebaiknya perkhidmatan pintar inisiatif yang disediakan di setiap pusat NADI berkenaan.

“Melalui penganjuran program ini, komuniti bukan sahaja diberikan latihan kemahiran ICT, tetapi juga didedahkan dengan pelbagai kursus yang telah dirangka khusus untuk membantu meningkatkan kemahiran dan berupaya menjana ekonomi komuniti di kawasan luar bandar.

“Inisiatif ini bukan hanya memperkasa komuniti melalui teknologi, tetapi juga membuka peluang untuk meningkatkan kemahiran berdaya saing yang dapat memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat di luar bandar,” ujarnya.

Mohd Mardah ketika memberi taklimat kepada penduduk luar bandar untuk memanfaatkan perkhidmatan disediakan oleh NADI semalam.

Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Pekan Beluran, Melvin Insik, menyifatkan aktiviti kolaborasi antara JAPEN, Komuniti MADANI dan NADI wajar dilaksanakan secara berkala agar manfaatnya dapat disebarkan ke komuniti yang lebih meluas.

“Program ini memberi peluang kepada ahli-ahli komuniti untuk mengenali lebih dekat peranan NADI serta perkhidmatan yang disediakan untuk komuniti dan masyarakat setempat melalui penganjuran kursus kemahiran seperti menjahit, masakan, jurufoto dan lain-lain yang dapat menjana ekonomi ahli komuniti.

“Aktiviti ini juga memberi peluang kepada komuniti untuk memperluaskan jaringan dan bekerjasama dengan pihak lain dalam usaha memperkasa ekonomi setempat,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda