
Laporan/foto: Wee Kim Been
MACHANG, 6 Feb (MalaysiaAktif) – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Jajahan Machang disaran untuk lebih aktif dalam memperkasakan peranan wanita sebagai pemangkin pembangunan negara.

Wakil dari Pejabat KEMAS turut serta dalam pertandingan hiasan Roti Jala ‘Jangok’ anjuran PUSPANITA Daerah Machang.
Pengerusi PUSPANITA Jajahan Machang Wan Noor Farizah Wan Shamsuddin, berkata persatuan ini bukan sekadar platform untuk memperkukuh daya saing kaum wanita tetapi juga berperanan dalam mengeratkan hubungan sesama ahli serta komuniti setempat.
“Ahli PUSPANITA diharapkan dapat menyumbang idea-idea bernas bagi memperkasa persatuan ini agar terus relevan dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika menghadiri Pertandingan Roti Jala ‘Jangok’ bersempena Mesyuarat Agung PUSPANITA Jajahan Machang kali ke-33 di Dewan Majlis Daerah Machang, pagi semalam.
Tambahnya, pelbagai program telah dirancang sepanjang tahun ini bagi memberi manfaat kepada ahli dan masyarakat sekitar, termasuk latihan kemahiran, gaya hidup sihat serta penjagaan kesihatan melalui sukan dan aktiviti riadah.

Antara jemputan yang hadir bagi Mesyuarat Agong PUSPANITA Jajahan Machang kali ke-33 Tahun 2025.
“Program-program yang bakal dilaksanakan turut sejajar dengan objektif PUSPANITA dalam memperkukuh jaringan muhibah dalam kalangan isteri dan anggota wanita perkhidmatan awam.
“Selain itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan potensi wanita melalui penguasaan ilmu, kemahiran, sikap positif serta responsif terhadap perkembangan teknologi semasa,” katanya.
Acara pertandingan Roti Jala ‘Jangok’ turut menyaksikan penyertaan ahli PUSPANITAdan pelbagai agensi antaranya Pejabat Tanah dan Jajahan Machang, Majlis Daerah Machang, Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta Pusat Pemulihan Akhlak Machang.
-ZS-