
Laporan/foto: Faizzad Kamal/Hanizatul Azwa (Batang Padang)
TAPAH, 10 Feb (MalaysiaAktif) – Penduduk sekitar Tapah dan beberapa kawasan di daerah Batang Padang berdepan gangguan bekalan air sejak Jumaat lalu susulan kejadian kebocoran paip air mentah milik Lembaga Air Perak (LAP) akibat pergerakan tanah di Taman Bunga Raya di sini.
Menurut kenyataan LAP, dua saluran paip utama yang membekalkan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh mengalami kebocoran.

Masyarakat setempat beratur mendapatkan bekalan air dari lori tangki (LAP)
“Pergerakan tanah yang ditambak melebihi sepuluh meter menyebabkan saluran paip bocor dan turut menjejaskan tiga kediaman berhampiran, yang kini mengalami keretakan serta berisiko untuk diduduki,” ujar LAP.
Antara kawasan yang terjejas di daerah Batang Padang termasuk Tapah Road, Changkat Petai, Tanjung Keramat, Air Kuning, Sungai Kroh, Kampung Tersusun Air Kuning, Chenderong Kelubi, Bidor, Jalan Temoh Station, Temoh dan kawasan sekitarnya.
Pihak LAP memberi jaminan bahawa usaha pembaikan akan diteruskan sejurus selepas keadaan selamat, selain memastikan bekalan air alternatif disediakan bagi mengurangkan kesan gangguan kepada penduduk terjejas.
Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemat dan mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi LAP.
Peniaga makanan Pauziah Rosli, meluahkan kebimbangannya kerana kesukaran berniaga akibat ketiadaan air.
“Saya menjual makanan bermasak, jadi saya sangat memerlukan air untuk memasak, mencuci pinggan, dan membancuh air sehingga kehadiran pelanggan juga luar daripada kebiasaan, mungkin kerana mereka sendiri sukar memasak di rumah,” katanya.
-AA-