
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Facebook Hairi Md Shah (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 20 Apr (MalaysiaAktif) — Lagenda badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei dipilih secara rasmi sebagai Duta Sukan Johor kedua oleh Majlis Sukan Negeri Johor.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Negeri Johor dengan Datuk Lee Chong Wei selaku Duta Sukan Johor.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) Ekmaluddin Ishak, berkata pemilihan dan pendekatan yang dibawa dalam pelantikan Duta Sukan Johor adalah bersifat kolaborasi dalam mengenal pasti sukan berpotensi tinggi dapat dibangunkan di Johor.
“Datuk Lee Chong Wei mempunyai motivasi yang tinggi bukan sahaja menjadikan seorang atlet yang baik tetapi menjadi idola dalam pembangunan sukan terutama generasi muda dan sebab itu telah dipersetujui untuk dilantik sebagai Duta Sukan Johor,” katanya ketika sidang media selepas sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Duta Sukan Johor di Hotel Thistle, di sini semalam.
Sementara itu, Datuk Lee Chong Wei ketika ditemui berkata beliau akan bekerjasama dengan MSNJ dan melihat prestasi sukan di Johor dengan pengalaman yang ada dalam membantu memajukan sukan ke peringkat yang lebih tinggi.

Ahli-ahli Persatuan Badminton Negeri Johor turut hadir meraikan pelantikan Datuk Lee Chong Wei sebagai Duta Sukan Johor.
“Saya akan berkongsi perjalanan karier saya sepanjang menjadi atlet sukan yang mana ada jatuh bangun dalam karier supaya dapat memberikan galakan kepada generasi muda khususnya ahli sukan untuk lebih maju ke depan,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) Datuk Onn Jabbar @ Jaafar.
END