
Laporan/foto: Kartini Abdul Aziz/Azhar Mat Isa (Muallim)
TANJUNG MALIM, 31 Jul (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Perak komited untuk terus menjayakan agenda keterjaminan makanan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang Salina Samsudin.
Beliau berkata pelbagai langkah telah diambil termasuk memperkenalkan inovasi dalam pengurusan makanan dan mengurangkan pembaziran sumber.

Salina Samsudin mengambil peluang melawat reruai yang turut serta dalam program tersebut.
“Antara lain, rakyat juga dipastikan untuk sentiasa mendapat akses kepada malanan yang segara, berkhasiat dan mencukupi,” katanya ketika menyempurnakan Program Karnival Agro Jabatan Pertaniah Daerah Muallim 2025, di Dewan Orang Ramai Kampung Sawa, Slim Village, di sini kelmarin.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan cek bantuan pertanian kepada enam kumpulan usahawan tani serta sumbangan kit pertanian kepada 100 peserta kursus pertanian bandar.

Pengarah Pertanian Negeri Perak menerangkan kepada Salina Samsudin berkaitan pengurusan tanah pertanian.
Program anjuran Jabatan Pertanian itu bertujuan memperkasakan sektor pertanian melalui pendekatan moden dan lestari.
Antara pengisian program ialah jualan agro pertanian, demo pertanian bandar, pameran produk agro tempatan dan Program Jom Tanam bersama anak-anak Tadika Perpaduan Slim Village bagi memupuk minat bercucuk tanam seawal usia kanak-kanak lagi.
Turut serta ialah wakil agensi seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Vaterinar dan Agrobank yang membuka kaunter khidmat nasihat kepada pengunjung.
-RI





