
Laporan/foto: Kartini Abdul Aziz/Azhar Mat Isa (Muallim)
TANJUNG MALIM, 31 Jul (MalaysiaAktif) – Lebih 300 peserta dari kalangan petani, belia tani dan usahawan kecil hadir memeriahkan Program Karnival Agro Jabatan Pertanian Daerah Muallim 2025 yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Kampung Sawa, Slim Village di sini, kelmarin.

Salina Samsudin mengambil peluang melawat reruai yang turut serta dalam program tersebut
Program anjuran Jabatan Pertanian itu bertujuan memperkasakan sektor pertanian melalui pendekatan moden dan lestari.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang Salina Samsudin yang turut menyampaikan cek bantuan pertanian kepada enam kumpulan usahawan tani serta sumbangan kit pertanian kepada 100 peserta kursus pertanian bandar.

Penyerahan cenderahati kepada peserta kanak-kanak bagi Program Jom Tanam
“Kerajaan Negeri Perak akan terus komited menjayakan agenda keterjaminan makanan. Pelbagai langkah telah diambil, termasuk memperkenalkan inovasi dalam pengurusan bekalan makanan, mengurangkan pembaziran sumber, serta memastikan rakyat mendapat akses kepada makanan yang segar, berkhasiat dan mencukupi,” ujar beliau dalam ucapannya.
Antara pengisian menarik sepanjang program berlangsung adalah jualan agro pertanian, demo pertanian bandar, pameran produk agro tempatan dan Program Jom Tanam bersama anak-anak Tadika Perpaduan Slim Village bagi memupuk minat bercucuk tanam seawal usia kanak-kanak lagi.
Turut serta dalam program ini ialah wakil agensi seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Jabatan Perkhidmatan Vaterinar dan Agrobank yang membuka kaunter khidmat nasihat kepada pengunjung.
-AA-





