Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Keajaiban Blue Tears Buat Penduduk Terpukau

By 31 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Hanif Ahmad/Fahmi Abdul Malik

MERSING, 31 Jul (MalaysiaAktif) – Di dunia yang terbentang luas ini, begitu banyak perkara atau fenomena unik dan pelik berlaku. Terbaru, penemuan unik air laut yang mengeluarkan kilauan cahaya biru yang cantik atau lebih dikenali dengan jolokan Blue Tears berlaku di perairan pantai Mersing iaitu di Tanjung Kampit dan Tanjung Resang, Endau.

Fenomena magis seakan lampu Neon@Avatar di sepanjang pantai Tanjung Resang sehingga ke Tanjung Kampit, Endau

Cahaya warna neon kebiruan seakan bintang di lautan, menjadikan suasana sangat memukau dan sesuai untuk menenakan diri atau healing.

Ia juga sememangnya menjadi peluang terbaik untuk aktiviti fotografi dalam kalangan jurugambar yang mahu memberikan sentuhan magis yang menakjubkan pada karya mereka.

Fenomena semula jadi yang tentunya menjanjikan pengalaman menarik kepada mereka yang melihatnya sebenarnya terhasil oleh Dinoflagellates, iaitu mikroorganisma dalam bentuk alga atau plankton marin yang memancarkan cahaya biru kehijauan.

Fenomena ini hanya boleh disaksikan dalam suasana gelap tanpa pencemaran cahaya, cuaca tenang, air tidak bergelora dan lebih kerap berlaku pada musim panas atau selepas hujan.

Jurugambar tidak melepaskan peluang merakam keindahan Blue Tears

Waktu yang terbaik untuk menyaksikan fenomena ini adalah pada malam bulan baru, khususnya pada hari pertama hingga ketiga dalam kalendar lunar.

Selain itu, langit yang gelap gelita tanpa gangguan sinar bulan dan berlakunya air pasang maksimum juga akan memudahkan visual bioluminesen itu direkod dengan lebih jelas.

Pemandangan magis ini ternyata telah menarik minat jurugambar dari dalam dan luar negara untuk menyaksikan sendiri keajaiban Blue Tears serta mereka yang mahu mengabadikannya dalam bentuk gambar dan video.

-AA-

Tinggalkan komen anda