
Laporan/foto: Faizal Nazmi/JAPEN
MUAR, 27 Jul (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini turun padang menyantuni rakyat Muar ketika hadir pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang (MPBKKJG) 2025 di Dataran Tanjung Emas, di sini.
Ketibaan Anwar pada pukul 9.42 pagi itu disambut Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Johor Dato’ Onn Hafiz Ghazi.
Dalam perjalanannya menuju ke pentas utama, Anwar tidak lokek menghulur tangan bersalaman dengan lautan pengunjung yang hadir selain melambai kepada tetamu di bawah khemah yang berada di kejauhan.
Dalam ucapan perasmiannya, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan itu mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak melupakan jasa tokoh dan pemimpin terdahulu yang berjuang untuk negara kerana kemerdekaan hari ini katanya tidak terhasil secara spontan.
Beliau turut menyeru supaya rakyat terus mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol kebanggaan negara dan penyatuan rakyat Malaysia.
Memahami jerih perih penduduk setempat, Anwar turut mengumumkan peruntukan segera berjumlah RM10 juta bagi warga Muar, khususnya buat golongan B40 yang bakal diselaraskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Pejabat Daerah Muar.
“Saya minta ICU selaraskan, kita tambah keperluan-keperluan kecil rakyat, terutamanya yang susah-susah seperti golongan B40. Kita lulus segera RM10 juta dalam seminggu dua ini untuk rakyat,” katanya.
Langkah itu katanya sebahagian daripada komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memastikan tiada yang tercicir daripada nikmat pembangunan negara, selari dengan semangat kemerdekaan dan keadilan sosial.
Usai merasmikan majlis dengan perlepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025, Anwar kemudiannya menyantuni pengunjung dengan melawat tapak jualan oleh lori makanan (food truck) bersebelahan khemah utama.
Perdana Menteri turut menikmati hidangan makanan tengah hari hasil masakan penyedia perkhidmatan katering dari daerah itu, selain menjamah hidangan ikonik iaitu Mee Bandung Muar jualan peniaga di situ.
Kehadiran Anwar pada majlis tersebut ternyata disambut baik rakyat tempatan yang teruja bertemu pemimpin negara itu dengan beliau juga dilihat tidak kekok berswafoto dengan rakyat Muar.
Majlis peluncuran oleh Anwar itu menandakan bermulanya sambutan Hari Kebangsaan peringkat nasional yang akan diteruskan ke seluruh negara.
-FN-





