
Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 22 Jul (MalaysiaAktif) – Gelak tawa dan sorakan riang memeriahkan suasana Pertandingan Boling Santai Komuniti MADANI Serdang yang diadakan di Kulim Central Mall pagi tadi.
Lebih 60 peserta terdiri daripada penduduk setempat menyertai acara santai ini yang bukan sahaja menguji kecekapan membaling bola, tetapi juga menyuntik semangat kekitaan dalam komuniti.

Ustaz Othman Mohd Omar menerima hadiah kemenangan kategori jatuhan pin tertinggi individu.
Ketua Komuniti MADANI Serdang Khairul Bahar Hashim, berkata program ini bukan semata-mata untuk berhibur, tetapi juga menjadi platform menyampaikan info penting kepada masyarakat.
“Kita selitkan perkongsian berkaitan keselamatan digital dan isu kepenggunaan agar komuniti lebih peka dan cakna. Sambil beriadah, kita tambah ilmu,” jelasnya.
Salah satu pengisian yang mencuri tumpuan ialah sesi perkongsian kepenggunaan oleh Pengerusi Gerakan Pengguna Daerah Bandar Baharu Mohd Noor Zainudin.
Penyampaian santai beliau berjaya membuka mata ramai peserta terhadap hak pengguna dalam kehidupan seharian, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran ekonomi masa kini.
Ustaz Othman, yang berjaya membawa pulang hadiah sebagai juara keseluruhan, berkongsi keterujaannya.
“Saya rasa seronok sangat hari ini. Dapat main, dapat ilmu, dapat hadiah… dan paling penting, dapat kenal ramai sahabat komuniti yang hebat,” katanya sambil tersenyum.

Semua peserta berasa teruja dan gembira menyertai program Jiwa @ Komuniti Madani Kemasyarakatan kali ini kerana membawa pengisian yang berbeza dari biasa iaitu bermain boling santai antara komuniti.
Menariknya, hadiah istimewa turut diberikan kepada peserta jatuhan pin paling rendah, yang dimenangi oleh Zainal Abidin, 50.
“Saya main suka-suka je, tak sangka pula dapat hadiah! Program macam ni buat kita rasa dihargai dan lebih rapat dengan masyarakat,” katanya teruja.
Program ini jelas membuktikan bahawa aktiviti santai seperti boling pun boleh menjadi jambatan yang memperkukuh ikatan komuniti, selari dengan semangat Komuniti MADANI yang mementingkan nilai perpaduan, ilmu dan keprihatinan.
-RI





