Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Dari Dapur Rumah ke Kedai Sendiri: Roti RM1 Raih Sambutan Hangat

By 23 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 23 Jul (MalaysiaAktif) – Bermula secara kecil-kecilan dari rumah di Kampung Baru Pendang, seorang usahawan muda Nurul Hidiyah Johari, 28, kini telah berjaya mengembangkan perniagaan roti miliknya hingga mampu membuka sebuah kedai sendiri dengan menyewa sebuah lot rumah kedai di Jalan Sungai Tiang, di sini.

Antara roti dan donat yang terdapat di Qhoti Singgit, Jalan Sungai Tiang, Kampung Baru, Pendang.

Dorongan keluarga, rakan, serta liputan awal Malaysia Aktif tahun lalu memberi kekuatan kepada Nurul Hidiyah mengambil langkah berani membuka kedai roti pertamanya pada 14 Julai lalu bermodalkan simpanan sendiri.

Perniagaan Qhoti Singgit itu mula beroperasi secara tidak rasmi sejak tahun 2020 dan semakin dikenali ramai apabila beliau aktif menggunakan platform media sosial seperti TikTok untuk membuat siaran langsung jualan roti.

Nurul Hidiyah yang ditemui kelmarin berkata strategi itu terbukti berkesan apabila jumlah pelanggan meningkat mendadak dan mencetuskan permintaan tinggi terhadap roti yang dihasilkannya.

Jualan boot kereta di beberapa lokasi tumpuan seperti Guar Chempedak, Tasik Pendang dan Pusat Permainan Kanak-kanak di Menara Alor Setar yang mendapat sambutan luar biasa dan berjaya mencecah jualan sehingga 4,000 keping roti ban terus menjadi pemangkin semangatnya untuk maju dalam bidang tersebut.

“Awalnya, saya hanya membuat roti bersama adik perempuan saya dan kini, saya perlu menambah bilangan pekerja bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” ujarnya.

Antara penggemar Qhoti Singgit yang sentiasa menyokong perniagaan Nurul Hidiyah.

Berkongsi mengenai kejayaannya, Nurul Hidiyah turut berhadapan pelbagai cabaran terutamanya dalam memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan kualiti produk kekal konsisten apatah lagi dengan peningkatan harga bahan mentah bakeri yang semakin ketara sejak kebelakangan ini.

“Kami menggunakan mesin untuk menguli dan mesin ketuhar elektrik (oven) untuk membakar manakala proses yang lain seperti menimbang, meletakkan inti dan hiasan adalah mengunakan tenaga manusia secara manual,” ujarnya.

Walaupun menghadapi pelbagai rintangan, Nurul Hidiyah tetap optimis dan berhasrat untuk terus mengembangkan perniagaannya agar mampu menembusi pasaran lebih luas.

Salah seorang penggemar Qhoti Singgit yang ditemui semalam, Umi Natrah Jamaludin, 47, berkata keistimewaan utama roti dihasilkan Nurul Hidiyah terletak pada kelembutan, kesegaran dan harganya yang sangat berpatutan iaitu antara RM1 hingga RM4.

“Antara yang menjadi pilihan pelanggan termasuklah coklat, pandan, kacang merah, kaya dan donat dengan pelbagai perisa,” ujarnya.

-RI

Tinggalkan komen anda