
Laporan/foto: Rahman Ishak/Jabatan Penerangan
MUAR, 26 Jul (MalaysiaAktif) – Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menasihati orang ramai agar berhati-hati terhadap penipuan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, pihak tersebut telah membuat pautan atau Pelokasi Sumber Seragam (URL) palsu bagi mengelirukan mangsa.
“Jadi, nasihat saya, pertama kalau ini adalah malumat daripada kerajaan, biasanya dia akan berakhir dengan .gov.my. gov maksudnya government (kerajaan) my maksudnya Malaysia Government.
“Kalau dia bukan URL yang end dengan .gov.my, silalah berhati-hati, perlulah buat semakan untuk pastikan. Sama ada itu adalah URL yang benar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Bakti Komuniti MADANI bersempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, di sini hari ini.
Menurutnya lagi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga telah menyekat pautan tersebut.
“Sangat-sangat penting adalah kita sendiri sebagai seorang netizen yang berwaspada bagaimana kita meningkatkan digital literacy (literasi digital) supaya kita tidak mudah menjadi mangsa scam (penipuan).
“Jadi, MCMC memang sudah ambil tindakan. Kita sudah blok akses kepada URL ini,” katanya.
Teo turut menasihati orang ramai supaya mendapatkan maklumat sahih dengan merujuk laman web ataupun media sosial rasmi kerajaan seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN).
“Kami akan selalu berkongsi maklumat-maklumat yang sahih ini. Jadi, tagline untuk berita palsu ialah ‘Tak pasti, jangan kongsi’, Jadi sekarang saya nak tambah lagi ‘Tak pasti, jangan klik’,” katanya.
-RI





