Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Istiadat Tabal Mandi Balai Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Diraja

By 30 Julai 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sarah Nur Saad/Mohamad Ezwandi (Perak)

IPOH, 30 Julai (MalaysiaAktif) – Setelah 43 tahun berlalu, kini Istiadat Tabal Mandi Balai Orang Kaya-kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Diraja sempurna dilaksanakan di perkarangan Kediaman Rasmi Orang Besar Jajahan Kinta di sini, kelmarin.

Panca Persada bagi Istiadat Tabal Mandi Balai

Kali ini, ia diadakan bagi Istiadat Pertabalan Dato’ Panglima Kinta ke-18, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan.

MalaysiaAktif berpeluang menyaksikan sendiri istiadat yang dirangka dengan penuh ketelitian itu, bermula dengan bacaan doa dan seterusnya 17 orang Tok Batin di daerah Kinta dijemput untuk bersalaman dengan Dato’ Panglima Kinta ke-18.

Seterusnya, Tok Batin-Tok Batin berdiri mengelilingi Panca Persada dan seterusnya Dato’ Panglima Kinta ke-18 diiringi berjalan mengelilingi Panca Persada sebelum naik bagi bersiap sedia untuk Istiadat Mandi Balai.

Menurut pengkaji sejarah dan adat istiadat tempatan Fazil Shuhaimi Talib, air bagi tujuan istiadat itu diambil daripada tujuh sungai di sekitar daerah Kinta iaitu Sungai Seno’oi, Sungai Kinding, Sungai Pinji, Sungai Raia, Sungai Buntong, Sungai Kledang dan Sungai Papan.

Toh Kohor Alam Nasir Ismail menunjukkan salah silah keturunan Dato’ Panglima Kinta

“Di Negeri Perak, istiadat ini hanya dilangsungkan oleh dua individu iaitu Sultan Perak dan Dato’ Panglima Kinta kerana kedua-duanya merupakan individu bangsawan yang berketurunan diraja iaitu bersambung dengan Sultan Perak Kedua, Sultan Mansur Shah I dan membawa kepada gelaran Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Diraja,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, Sultan Mansur Shah I telah berkahwin dengan anak perempuan Tok Batin dari suku Semang di Kuala Kinta dan hasil perkahwinan tersebut telah melahirkan Toh Changkat Piatu atau dikenali Kulop Kinta.

“Toh Changkat Piatu seterusnya berkahwin dengan Puteri Mazwin dari suku Temiar di Hulu Kinta dan melahirkan Toh Chendang dan dianugerahkan gelaran oleh Sultan Perak ke-10, Sultan Muzaffar Shah II sebagai Maharaja Kinta.

“Toh Chendang telah beroleh zuriat Toh Tambak yang kemudiannya menjadi Panglima Kinta pertama sekitar tahun 1670 hingga 1710,” ujarnya yang juga waris keturunan Dato’ Panglima Kinta.

Menurut Toh Kohor Alam Nasir Ismail, sebelum istiadat tersebut berlangsung, terdapat istiadat atau upacara kecil yang perlu dijalankan iaitu Istiadat Menziarah Kubur-kubur Panglima Kinta, Istiadat Mengambil Air Sungai daripada Tujuh Kuala Sungai Kinta, Istiadat Mencari dan Mengumpul Kayu Pokok Sungkai dan sebagainya.

Istiadat kemudian bersambung pada sebelah petang pula membabitkan Istiadat Merenjis dan Penyerahan Baur di Kediaman Rasmi Orang Besar Jajahan Kinta.

-AA-

Tinggalkan komen anda