Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Isu Pekerja Terjejas Tidak Kritikal – ADUN Rawang

By 24 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 24 Jul (MalaysiaAktif) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang Chua Wei Kiat menjelaskan isu melibatkan pekerja sebuah kilang yang terjejas akibat kebakaran baru-baru ini bukan pada tahap kritikal.

ADUN Rawang, Chua Wei Kiat

Menurut beliau, terdapat pelbagai saluran bantuan termasuk daripada kerajaan dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)  tersedia bagi membantu mangsa terlibat.

“Kilang berkenaan tidak akan beroperasi dalam masa terdekat, namun kawasan Rawang merupakan kawasan perindustrian yang mempunyai banyak peluang pekerjaan baharu untuk diterokai,” katanya.

Kelihatan beberapa pekerja kilang kapas yang terjejas sedang mendaftar di kaunter MISI

Beliau berkata demikian kepada media selepas perjumpaan bersama pekerja Carefeel Cotton di Dewan Komuniti Sungai Bakau, di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Tugas Khas Menteri Sumber Manusia, Diccam Lourdes dan Pengurus PERKESO Rawang, Jamilah Siro.

Beliau berkata Malaysia Indian Skills Initiative (MISI) di bawah Kementerian Sumber Manusia turut menyediakan latihan pekerjaan dan peningkatan kemahiran kepada individu yang terjejas.

“Saya ingin beri jaminan bahawa kami sentiasa berada di lapangan dan komited membantu.

“Saya juga mohon agar semua pihak menyampaikan mesej yang tepat bagi mengelak kekeliruan,” ujarnya.

Pada 30 Jun lalu, sebuah kilang kapas dilapor musnah dalam kejadian kebakaran di Batu 22, Jalan Kundang, Bandar Country Homes jam 10.14 pagi.

Susulan itu, pihak pengurusan kilang berkenaan mengarahkan pekerja terbabit untuk bekerja di sebuah kilang di Subang.

Arahan tersebut bagaimanapun dibantah pekerja kerana jarak yang jauh dari kediaman mereka selain tidak disediakan pengangkutan.

-AA-

Tinggalkan komen anda