Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Jangan Lupakan Tokoh, Kemerdekaan Ini Bukan Spontan – Anwar

By 27 Julai 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahman Ishak/Jabatan Penerangan

MUAR, 27 Jul (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak melupakan perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan negara terutama ketika negara kini memasuki bulan kebangsaan.

“Anak-anak bangsa jangan lupa, dia ada permulaannya. Merdeka tidak spontan. Merdeka itu dengan kekuatan semangat dan daya juang, dengan wawasan pimpinan, keberanian mereka, pengorbanan mereka, menggembeling tenaga dan semangat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang (MPBKKJG) 2025 di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini.

Beliau juga turut mengingatkan rakyat untuk membebaskan diri daripada sikap yang boleh memecahbelahkan masyarakat, melemahkan kekuatan dan menjadi alat kepada agenda orang asing.

“Tidak faham erti kemerdekaan dan perjuangan, menjadi pak turut negara mereka, rakyat terperangkap dan tidak mampu berfikir jadi alat ikutan.

“Sebab itulah tanggungjawab dalam negara MADANI ini meneruskan semangat yang lalu, memerdekakan kita,” katanya.

Perdana Menteri bersama Menteri Komunikasi ketika menyempurnakan perlepasan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 (KMJG 2025).

Sementara itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata MPBKKJG 2025 membawa tanggungjawab besar dalam menyemarakkan bulan kebangsaan di mana ia satu bulan yang menuntut rakyat mengimbau sejarah, menghargai pengorbanan dan memperbaharui iltizam terhadap tanah air tercinta ini.

“Ini kita lakukan untuk memaknai sebuah kehidupan dan kepentingan menjadi masyarakat yang merdeka. Sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, kehidupan rakyat dibina berlandaskan kepada keunikan kaum yang pelbagai di negara kita.

“Pilihan di tangan kita sebagai rakyat bertanggungjawab untuk memastikan keharmonian dan kesejahteraan tetap terpelihara dengan mengamalkan nilai-nilai terpuji yang dirangkumkan dalam lima prinsip Rukun Negara,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan HKHM 2025.

Pada majlis tersebut, Anwar turut menyempurnakan perlepasan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 (KMJG 2025).

Sementara itu, Kementerian Komunikasi dalam kenyataan memaklumkan KMJG 2025 membawakan kelainan dengan gabungan kontinjen darat dan air di mana 66 unit bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Marin, Jabatan Laut Malaysia dan nelayan tempatan yang menyusuri Sungai Muar.

Manakala, kontinjen darat disertai 88 buah kenderaan agensi kerajaan, swasta, gig ekonomi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Jabatan Penerangan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, BMW K16 serta Pos Malaysia.

Antara 12,000 pengunjung yang hadir.

Program yang dihadiri lebih 12,000 pengunjung dan berkonsepkan karnival dari rakyat untuk rakyat itu mendapat kerjasama strategik kerajaan negeri Johor termasuk pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta swasta.

Turut dianjurkan, program-program sisipan bermula Jumaat lepas iaitu Karnival Kita MADANI, Permukiman Komuniti MADANI, Bakti Komuniti MADANI, Fiesta MADANI dan Merdeka 6.8KM Fun Run & Walk.

Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri-Menteri Persekutuan serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan.

-RI

Tinggalkan komen anda