Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Komitmen Berterusan Kerajaan Perangi Ancaman Dadah

By 27 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Kedah)

JITRA, 27 Jul (MalaysiaAktif) – Sambutan Peringatan Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 6,000 pengunjung di Dataran Darul Aman, di sini pada Jumaat,  bukan sekadar simbolik malah menjadi manifestasi kesungguhan negara membanteras ancaman najis dadah yang kekal menjadi musuh nombor satu negara.

Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail komitmen kerajaan dalam usaha menangani isu penagihan dadah semakin diperkukuh apabila lebih RM480 juta telah diperuntukkan untuk mempertingkatkan operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta pusat-pusat pemulihan di seluruh negara.

Malah, permohonan tambahan peruntukan sebanyak RM500 juta juga sedang dikemukakan kepada kerajaan bagi menyokong usaha berterusan ini.

Gimik pelancaran sempena Majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2025

“Lebih 80 peratus bekalan dadah dilaporkan masuk melalui laluan laut. Kita tidak duduk diam. Dengan sokongan dan perhatian khusus daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, permohonan penambahan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah diberi pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Anwar atas sokongan padu dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara daripada ancaman dadah.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh kepimpinan negeri termasuk kerajaan negeri Kedah untuk bersama-sama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mencari jalan keluar daripada senarai empat negeri tertinggi kadar penagihan dadah.

“Ini bukan soal politik, ini soal tanggungjawab bersama. Usaha memerangi dadah memerlukan kerjasama menyeluruh semua pihak, tanpa mengira latar belakang,” tegasnya.

Tambah beliau, KDN turut menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menyeru agar institusi masjid dan khutbah Jumaat dijadikan saluran pencegahan utama bagi mendidik masyarakat tentang bahaya dadah.

“Saranan Tuanku amat bertepatan. Masjid bukan sahaja pusat ibadah, malah perlu dimanfaatkan sebagai wadah penyampaian maklumat, nasihat dan peringatan kepada masyarakat, khususnya golongan muda,” ujarnya.

-AA-

Tinggalkan komen anda