
Laporan/ Foto : Iswandi Kassim (SARAWAK)
SRI AMAN, 30 Jul (MalaysiaAktif) – Seramai 18 mangsa daripada empat keluarga yang terjejas dalam insiden kebakaran di Kampung Tengah, Jalan Stawang, awal pagi semalam, menerima bantuan berbentuk sumbangan awal daripada pihak yang prihatin terhadap nasib mereka.

Alfian dan Salbiah mewakili Komuniti MADANI Kampung Hulu Tengah menyampaikan bantuan kepada Awang Busman, salah seorang mangsa kebakaran.
Sumbangan wang tunai disampaikan Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Hulu Lemanak Alfian Abu Bakar dan isteri Salbiah Sabeli mewakili pihak komuniti kepada semua ketua keluarga mangsa kebakaran yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Lemanak, Kampung Hulu, petang semalam.
Menurut Alfian, sumbangan tersebut diharap dapat sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung keluarga terlibat dan sebagai dorongan moral kepada mereka untuk bangkit semula daripada musibah yang menimpa.
“Biarpun jumlahnya tidak besar, sumbangan ini sekurang-kurangnya membawa sinar harapan kepada mangsa dan saya juga menyeru lebih ramai pihak tampil membantu agar mereka tidak terbeban dalam tempoh ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis ringkas penyerahan bantuan.
Beliau turut menasihati semua mangsa agar terus tabah dalam menghadapi ujian yang di luar jangkaan dan bersabar menantikan bantuan tambahan daripada mana-mana pihak.
“Kami di Kampung Hulu Lemanak sentiasa bersama mereka dari segi sokongan moral dan inilah keprihatinan masyarakat yang terserlah melalui Semangat MADANI yang kita amalkan,” ujar Alfian lagi.

Pihak mangsa lain turut menerima bantuan daripada pasangan Alfian dan Salbiah.
Kejadian kebakaran yang berlaku melibatkan enam buah rumah, empat rumah musnah sepenuhnya manakala dua lagi mengalami kerosakan hampir 80 peratus.
Susulan kejadian itu, kesemua mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara sekitar jam 12 tengah hari pada hari sama bagi tujuan perlindungan, pemberian makanan dan bantuan kecemasan.
Sesi penyerahan bantuan turut disertai Pegawai Penyelaras Komuniti MADANI DUN Lingga Iswandi Kassim dan ahli Komuniti MADANI Kampung Hulu Lemanak yang turun padang memberi sokongan serta membantu menyantuni mangsa kebakaran tersebut.
-RJ-





