
Laporan/foto: Fasharina Kholil (Pengkalan Hulu)
PENGKALAN HULU, 22 Jul (MalaysiaAktif) – Lebih 100 peserta pelbagai peringkat umur menyertai acara Malaysia Aktif: Fun Run di Gelanggang Futsal, Kapung Selarong, di sini kelmarin.

Acara larian ceria menjadi trend masa kini serta diminati oleh pelbagai peringkat usia.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Selarong Alias Hashim, objektif utama penganjuran larian ceria itu ialah untuk menarik minat orang ramai bersenam secara santai dan menyeronokkan tanpa tekanan atau unsur kompetitif.
“Melalui acara seperti ini, kita ingin mengubah persepsi kononnya senaman itu membosankan. Sebaliknya, aktiviti fizikal boleh dilakukan dengan gembira bersama rakan dan keluarga,” katanya.
Katanya acara seperti itu akan terus diadakan secara berkala untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan gaya hidup sihat dan aktif.

Alias (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua penduduk untuk melibatkan diri dalam acara bermakna ini sebagai usaha membudayakan amalan gaya hidup sihat,” katanya.
Acara larian santai sejauh tiga kilometer itu dianjurkan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pengkalan Hulu dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Selarong bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.
-RI





