Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Bubur Tradisi, Satukan Komuniti di Pasir Mas

By 22 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh

PASIR MAS, 22 Jul (MalaysiaAktif) – Semangat perpaduan antara kaum terus diperkukuh apabila komuniti Melayu dan Cina di Kampung Kelar berganding bahu menyediakan bubur Asyura dalam satu program gotong-royong yang berlangsung di perkarangan Masjid Mukim Kelar, di sini semalam.

Bertemakan ‘Jom Masak Bubur As-Syura’, ia menyaksikan penyertaan lebih 10 buah kampung termasuk komuniti Cina yang turun padang membantu menyediakan bubur tradisi yang sinonim dengan bulan Muharam, sebagai simbol kesyukuran dan amalan bersedekah.

Masyarakat Cina turut bersama mengacau bubur Asyura.

Menurut Imam Muda Masjid Mukim Kelar Abdul Halim Abd. Rahman, program itu bukan sahaja menyemarakkan budaya gotong-royong malah menjadi medium pengukuhan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum.

“Alhamdulillah, program ini berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat. Kehadiran komuniti Cina menunjukkan betapa pentingnya kita terus memperkukuh silaturahim dalam masyarakat majmuk,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa inisiatif itu juga sebahagian daripada usaha mengimarahkan masjid dan menarik lebih ramai ke rumah ibadat melalui pendekatan terbuka dan mesra komuniti.

Sementara itu, Pengerusi Komuniti Masyarakat Cina Kampung Kelar Wee Tiat See berkata pihaknya menyambut baik jemputan dan menghargai peluang untuk bersama dalam program masakan tradisional Melayu.

“Terima kasih kepada pihak penganjur. Melalui penyertaan seperti ini, perpaduan antara kaum dapat diperkukuhkan. Kami juga jemput komuniti Melayu bila ada program kami. Ini budaya saling menghormati,” ujarnya.

Bubur Asyura yang siap dimasak diagih mengikut kampung masing-masing.

Menurut isterinya, Chan Siew Nia, 58, beliau gembira dapat turut serta dalam penyediaan ramuan bubur Asyura bersama tukang masak Melayu.

“Mek datang tolong belajar buat bubur ni. Jangan bimbang, semuanya halal dan boleh dimakan,” katanya sambil tersenyum, lebih mesra dikenali sebagai ‘Mek’.

Sebanyak 10 kawah bubur dimasak dan diagihkan mengikut kampung, termasuk kepada keluarga komuniti Cina yang turut serta. Hampir 500 penduduk hadir memeriahkan program anjuran Masjid Mukim Kelar dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat.

Inisiatif seperti ini diharap dapat dijadikan contoh terbaik bagaimana masakan tradisional mampu menjadi jambatan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum.

-RI

Tinggalkan komen anda