Skip to main content
Berita TempatanSarawak

NADI Engkilili Sediakan Pelbagai Kemudahan dan Khidmat Digital Kepada Masyarakat Luar Bandar

By 20 Julai 2025Ogos 4th, 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Iswandi Kassim/ Stanley Clarence Eddie dan Fakhri Zhafran (JAPEN SRI AMAN)

ENGKELILI, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Engkilili kini menjadi tumpuan utama komuniti luar bandar di daerah ini, khususnya dalam mendapatkan kemudahan teknologi dan bimbingan digital secara percuma, termasuk pengisian borang pelbagai inisiatif kerajaan.

Sylivia menerangkan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak NADI.

Peranan penting NADI Engkilili diserlahkan lagi semasa program Sembang Santai Komuniti MADANI Kampung Melayu Engkilili bersama Jabatan Penerangan Daerah Sri Aman yang berlangsung di sini, kelmarin.

Menurut Pengurus NADI Engkilili Sylivia Geran, 37, pusat berkenaan penting dalam membantu penduduk tempatan memanfaatkan pelbagai perkhidmatan digital secara menyeluruh dan mesra komuniti.

Perkhidmatan paling popular ketika ini melibatkan bantuan pengisian Borang Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) yang menjadi keperluan utama petani, pekebun kecil dan peladang.

“Pusat NADI Engkilili bukan sekadar tempat akses internet, tetapi juga berperanan sebagai rakan digital komuniti dan ramai penduduk datang ke sini untuk memohon pelbagai bantuan kerajaan malah Nadi juga bertujuan untuk mempastikan tiada siapa tercicir dalam arus digital, walaupun di luar bandar,” tambah Sylvia.

Pemeriksaan kesihatan yang disediakan di NADI Engkelili.

Penolong Pengurus Nadi Engkelili Irene Marian 32, ketika ditemui pada program sama memaklumkan NADI itu turut menyediakan perkhidmatan kesihatan asas secara percuma.

“Kami juga menawarkan pemeriksaan tekanan darah dan paras gula kepada pengunjung dan ini sangat membantu penduduk luar bandar kerana mereka tidak perlu lagi mengeluarkan kos untuk ke klinik swasta yang jauh di bandar, sekali gus menjimatkan masa dan perbelanjaan mereka,” jelas Irene.

Selain BMT dan perkhidmatan kesihatan, pusat tersebut turut membantu permohonan dan semakan untuk pelbagai insentif kerajaan lain termasuk Sumbangan Tunai Rahmah, Geran Khas Prihatin, eMadani dan permohonan peranti digital.

Perkhidmatan lain yang disediakan termasuk panduan pengisian borang dalam talian, memuat naik dokumen, mencetak salinan sokongan dan bimbingan digital yang semuanya tanpa sebarang bayaran.

Tambahnya lagi, usaha itu memberi kesan besar kepada komuniti kerana dapat mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah serta menjimatkan kos dan masa.

Safariza (dua kanan) bersama petugas Nadi Engkelili.

Selain itu, NADI Engkilili juga giat melaksanakan kursus literasi digital, kelas asas ICT, latihan e-dagang untuk usahawan kecil dan bimbingan pembelajaran atas talian bagi pelajar luar bandar.

Sembang Santai Komuniti MADANI Kampung Melayu Engkilili turut dihadiri Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman Safariza Bujang, Penghulu Suhaili Ahmad dan Ketua Kampung Melayu Engkelili merangkap Ketua Komuniti Kampung Melayu Engkilili Herman Dollah serta ahli-ahli Komuniti MADANI.

-RJ-

Tinggalkan komen anda