
Laporan/foto : Firdaus Hadi / Mohd Azizi (JAPEN SIMUNJAN)
SEBUYAU, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Semangat kebersamaan dan perpaduan komuniti terserlah ketika berlangsungnya Program Gotong-Royong MADANI sempena Majlis Jiwa @ Komuniti Madani Kemasyarakatan yang dianjurkan Jabatan Penerangan Daerah Simunjan di Kampung Sampat, Sebuyau, kelmarin.

Tahir di Program Gotong-Royong MADANI.
Program melibatkan pelbagai lapisan penduduk kampung itu juga memperlihatkan kerjasama, perpaduan dan rasa tanggungjawab sosial dalam usaha memelihara kesejahteraan dan kebersihan kawasan kampung.
Pegawai Tadbir Daerah Sebuyau Tahir Putih ketika ucapan perasmiannya berkata, aktiviti gotong-royong sebegini adalah simbol perpaduan yang perlu terus disemai dalam jiwa anak-anak muda dan masyarakat secara keseluruhannya.

Kaum wanita turut menyumbang tenaga terlibat dengan gotong-royong.
“Gotong-royong bukan sekadar aktiviti membersih kawasan tetapi juga adalah lambang kesatuan komuniti dan bertujuan memperkukuh hubungan kejiranan dan memupuk rasa tanggungjawab terhadap kawasan tempat tinggal kita,” katanya lagi.
Tahir juga mengharapkan program sedemikian dapat menjadi amalan budaya hidup dalam masyarakat kampung dan menyemarakkan semangat komuniti yang progresif, harmoni dan bersatu hati membina masa depan yang lebih baik.

Setiap peserta ada peranan masing-masing.
“Selaras dengan Aspirasi Malaysia MADANI, saya berharap apa yang telah dilaksanakan dapat diteruskan dari semasa ke semasa dan menjadi contoh serta teladan kepada kampung-kampung lain dalam membentuk komuniti yang bersatu dan harmoni,” jelasnya.
Program Gotong-Royong MADANI tersebut menyaksikan penglibatan aktif daripada pelbagai lapisan usia terdiri daripada golongan belia dan warga emas yang bersama-sama turun padang menjalankan aktiviti pembersihan dan pengindahan sekitar kampung.
Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Simunjan Mohammad Subuh Jamali, Ketua Kaum Kampung Sampat Matasan Bujang dan Ketua Komuniti Madani Kampung Sampat Osman Jamel.
-RJ-





