
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh
TANAH MERAH, 25 Jul (MalaysiaAktif) – Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Alor Pasir dinasihatkan agar menjauhi segala perbuatan yang boleh menjurus kepada permasalahan sosial.
Penolong Penguasa Penjara Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang Azman Mat Yashim, berkata kebanyakan kesalahan melibatkan remaja masa kini ialah buli, peras ugut, merosakkan harta awam, gangguan seksual dan pelbagai jenayah lain.

Sesi bergambar beramai-ramai selepas program.
“Nasihat saya kepada pelajar, gunakan masa di sekolah untuk belajar bersungguh-sungguh dan mengejar cita-cita. Jangan libatkan diri dengan perkara bertentangan undang-undang kerana kesannya amat menyedihkan,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Gejala Sosial dan Hukuman Penjara’.
Beliau turut berkongsi pengalaman mengenai kehidupan sebenar banduan yang dikatakan sukar dan menyedihkan, khususnya bagi pesalah yang dikenakan hukuman rotan atau sebat.
“Mungkin suatu hari nanti kamu akan menjadi pemimpin negara dan dihormati masyarakat. Jangan kecewakan harapan guru dan ibu bapa,” tegasnya.
Hampir 350 pelajar dan guru menyertai Program Jiwa@Kelab Malaysiaku di Dewan Penghulu Mahmod, di sini kelmarin yang memberi pendedahan mengenai realiti kehidupan di penjara dan bahaya gejala sosial.
Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku, Siti Fatimah Ishak, berkata program ini mendedahkan pelajar kepada kesan buruk penglibatan dalam gejala sosial serta bentuk hukuman yang boleh dikenakan.
“Perkongsian pengalaman mengenai kehidupan di sebalik tirai besi memberi pengajaran berguna kepada pelajar agar menjauhi tingkah laku negatif dan menghargai kehidupan berlandaskan undang-undang serta nilai moral,” katanya.

Chansoda menerima sijil penyertaan program daripada Azman.
Pelajar keturunan Siam, Chansoda Wicnian, 17, dari Kampung Kuang, Bukit Mas, mengakui terkejut dan ngeri selepas mendengar pengalaman kehidupan penjara.
“Saya takut apabila mendengar bagaimana hukuman diterima oleh mereka yang bersalah,” katanya sambil memegang sijil penyertaan.
Rakannya, Phloyjada Endon, 14, dari Kampung Berchang turut bersetuju dengan pandangan itu.
Program yang turut melibatkan ceramah dan sesi interaktif ini disertai oleh Pegawai Penerangan Daerah Tanah Merah Mohd Sanusi Ariffin, Pegawai Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Tanah Merah Ketua Inspektor Penjara Ahmad Nizan Tuan Ismail, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Alor Pasir Lokman Mohamad serta kakitangan Jabatan Penjara Malaysia Pusat Pemulihan Akhlak Machang.
-RI





