Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Harga Minyak Turun, Rakyat Malaysia Beri Sambutan Positif

By 25 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhammad Azrul Hafiz/Muhaimin Musa

KUALA LUMPUR, 25 Jul (MalaysiaAktif) – Pengumuman terkini daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penurunan harga minyak kepada RM1.99 seliter telah disambut baik oleh pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia.

Langkah ini dilihat sebagai usaha kerajaan untuk mengurangkan beban kewangan rakyat, terutamanya dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Dalam pengumuman kelmarin, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengumumkan insentif RM100 (sekali beri) kepada setiap warganegara dewasa berumur 18 tahun ke atas sempena Hari Kebangsaan 31 Ogos 2025.

Selain itu, 15 September 2025 (Isnin) juga diisytiharkan sebagai cuti umum tambahan sempena sambutan Hari Malaysia, menekankan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

Farid menzahirkan rasa syukur dengan pengumuman penurunan harga minyak oleh Perdana Menteri.

Reaksi awam terhadap pengumuman ini adalah sangat positif.

Seorang penjawat awam Farid, 43, melahirkan rasa syukur atas penurunan harga minyak ini. Walaupun mengakui proses tersebut mengambil masa yang lama, beliau menganggapnya sebagai satu langkah yang berbaloi dan dapat meringankan beban, terutamanya bagi peniaga dan masyarakat umum.

Mustakim, 40 dan Shafie, 38, kedua-duanya penjawat awam, turut menyuarakan rasa gembira mereka.

Menurut Mustakim, harga minyak yang baharu ini adalah berbaloi, manakala Shafie berharap agar kerajaan dapat memberikan lebih banyak bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Mohd Zaki, 42, dari sektor swasta, yang sering menggunakan motosikal untuk berulang-alik ke tempat kerja, menyatakan kegembiraannya.

Syazwan, 33, juga seorang penjawat awam, pula menyambut baik pengumuman ini dan berharap agar kerajaan terus melipat gandakan usaha membantu rakyat. Beliau berpendapat bahawa walaupun perbezaan harga hanya enam sen, ia memberi impak yang besar jika dikira mengikut jumlah liter minyak yang diisi setiap hari.

“Penjimatan yang agak besar untuk saya sendiri yang bawa kereta pergi kerja,” katanya.

Nur Ain gembira terhadap pengumuman Perdana Menteri.

Nur Ain Md Daus, 36, dari sektor swasta turut berkongsi kegembiraannya, menyatakan bahawa dengan harga minyak yang lebih rendah, lebih ramai rakyat Malaysia akan dapat melancong dan pulang ke kampung halaman.

Beliau juga menekankan kepentingan harga minyak yang stabil kerana ia merupakan keperluan asas untuk pergi bekerja dan bercuti. Harapan utamanya adalah agar Malaysia terus dihormati di mata dunia.

Secara keseluruhannya, pengumuman Perdana Menteri ini telah diterima dengan tangan terbuka oleh rakyat Malaysia, yang melihatnya sebagai langkah proaktif kerajaan dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

-RI

Tinggalkan komen anda