
Laporan/foto: Rahman Ishak
MUAR, 25 Jul (MalaysiaAktif) – Persiapan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad ini di Dataran Tanjung Emas, Muar berjalan lancar, kata Pengarah Kanan (Pengurusan) Jabatan Penerangan Naim Fahmi Ahmad Tajuddin.
Katanya, sesi dry run skeleton yang diadakan pagi tadi berjalan dengan baik meskipun terdapat sedikit penyesuaian dari segi pergerakan dan penyelarasan kumpulan.

Naim, memberi isyarat ‘bagus’ terhadap persiapan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025.
“Biasalah, kalau dry run pertama atau skeleton run, akan ada sedikit kekeliruan. Tetapi, selepas sesi taklimat dan penyelarasan plot pergerakan kumpulan, saya lihat ia semakin lancar. Hanya beberapa perkara kecil yang perlu diselaraskan,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini petang tadi.
Menurutnya, cabaran utama pagi tadi ialah untuk menyelaraskan persembahan oleh pihak luar seperti Sekolah Seni Johor, Majlis Kebudayaan Daerah Muar, Sekolah Tinggi Muar, termasuk kumpulan pancaragam dan kompang, bagi memastikan rentak dan alunan persembahan berjalan baik.
“Kalau saya nak bagi markah untuk kejayaan dry run pagi tadi, saya boleh kata sekitar 85 hingga 90 peratus,” katanya.
Naim yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat Merdeka, berkata maklum balas diterima daripada penduduk tempatan menunjukkan mereka mulai cakna akan sambutan berkenaan.
“Alhamdulillah, dari sudut promo dan publisiti, maklumat tentang program ini sudah sampai ke masyarakat. Ketika saya singgah makan di beberapa kedai sekitar kawasan ini, ada peniaga dan penduduk bertanya tentang hadiah cabutan bertuah dan pendaftaran larian.
Naim turut berkata publisiti program itu telah disokong oleh pelbagai saluran termasuk televisyen, media sosial, serta papan iklan digital (LED) di sekitar bandar Muar.
“Alhamdulillah, dari segi promosi kita dibantu oleh Bahagian Media dan Komunikasi Korporat serta sokongan Datuk KSU (Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi) TKSU (Timbalan Ketua Setiausaha), SUB (Setiausaha Bahagian) dan beberapa Pengarah Negeri (Jabatan Penerangan) seperti Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Promosi ini sudah ke udara, termasuk televisyen.
“Saya mengajak seluruh masyarakat sekitar bandar Muar untuk hadir beramai-ramai pada 27 Julai ini bagi memeriahkan majlis peluncuran yang akan dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
-RI





