
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Rodey Roy Juhalin (Labuan)
LABUAN, 24 Jul (MalaysiaAktif) – Pertandingan Pengisahan Kenegaraan @ Kelab Malaysiaku memberi peluang kepada para pelajar untuk memahami sejarah tanah air, menjiwai perjuangan tokoh-tokoh terdahulu dan membina jati diri.

Antara aksi bertenaga daripada Kumpulan Sutera Layar.
Menurut Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Labuan Samsul Mandisin aktiviti kenegaraan seperti itu turut memainkan peranan penting dalam membentuk watak dan peribadi anak-anak kita.
“Pertandingan seperti ini berperanan besar dalam membuka ruang kepada para pelajar untuk menjiwai makna sebenar kenegaraan, mengenali tokoh-tokoh perjuangan serta memahami betapa mahalnya harga sebuah kemerdekaan dan pembentukan tanah air kita.
“Pendekatan melalui seni lakon dan penceritaan seperti ini amat berkesan kerana ia mampu menyentuh hati, menghidupkan emosi, dan mengukuhkan ingatan para pelajar tentang kisah perjuangan negara,” katanya semasa merasmikan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan @ Kelab Malaysiaku Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2025, di sini semalam.

Semua pemenang Pertandingan Pengisahan Kenegaraan @ Kelab Malaysiaku bergambar kenangan bersama tetamu jemputan.
Pada pertandingan itu, Kumpulan Sutera Layar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-Rancha yang mengangkat karya ‘Jiwa Anak Rimba Antanom Pejuang Nusa’ berjaya diangkat menjadi johan diikuti Kelab Seni Teater Mutiara dari SMK Mutiara di tempat kedua dan Kumpulan Anak Watan dari SMK Taman Perumahan Bedaun di tempat ketiga.
-RI





