
Laporan/foto: Mohd Sukri Ismail
TUMPAT, 13 Jul (MalaysiaAktif) – Seorang peserta cilik berusia 10 tahun mencuri tumpuan ramai dalam pertandingan karom pada Program Jiwa@Komuniti MADANI Kutan, di Kampung Kutan Tengah, di sini semalam.

Hasim melakukan gimik untuk pertandingan karom.
Azras Hafizi dan ayahnya Hafizi Roni, 37, menjadi pasangan istimewa pada program yang disertai 18 pasukan dengan kumpulan anak beranak itu berjaya muncul Naib Johan walaupun berdepan saingan dewasa.
Kejayaan itu membuktikan usia bukan penghalang untuk mencipta kejayaan, sekali gus mencerminkan kesungguhan generasi muda apabila diberi ruang dan dorongan yang positif terutama dalam dunia sukan.
Ketua Komuniti MADANI Kutan Wan Mat Sin Wan Sulaiman berkata aktiviti itu menjadi platform menyampaikan maklumat kerajaan selain berperanan sebagai medium mendekati anak muda melalui pendekatan santai dan mesra komuniti.
“Dengan penganjuran pertandingan karom, kita bukan sahaja mengisi masa lapang golongan belia dengan aktiviti berfaedah, tetapi juga menyemai semangat perpaduan dan interaksi sihat antara generasi,” katanya.
Tambahnya, kepimpinan Komuniti MADANI perlu bergerak seiring dengan keperluan masyarakat setempat, terutama dalam menarik minat golongan muda untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.
Program turut dihadiri Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan Hasm Mohamed dan Ketua Skuad Prihatin Sinergi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan Hazri Harun.
Kejayaan penganjuran aktiviti berkenaan menunjukkan keberkesanan Komuniti MADANI sebagai pemangkin keharmonian sosial dan penyalur maklumat yang dekat di hati rakyat.
-RI





