Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Program JIWA@Komuniti MADANI Kemasyarakatan Meriahkan Luagan Danau

By 29 Julai 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Juliani Bolhi/ Daniel Parang (Sarawak)

LIMBANG, 29 Jul (MalaysiaAktif) – Lebih 200 penduduk sekitar Kampung Batu Danau, Kampung Pandak dan Kampung Buluh Baloi hadir memeriahkan Program JIWA@Komuniti MADANI Kemasyarakatan dan Hari Keluarga yang diadakan di kawasan pelancongan semula jadi Luagan Danau, Limbang, kelmarin.

Sufian menyampaikan ucapan perasmian di Luagan Danau.

Komuniti MADANI Kampung Batu Danau bekerjasama dengan Majlis Daerah Limbang, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batu Danau, Kampung Pandak dan Buluh Baloi Limbang menganjurkan program tersebut.

Pengerusi Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat, ketua-ketua kaum dan penduduk sekitar turut hadir bersama ahli Komuniti MADANI memeriahkan program yang padat dengan pelbagai pengisian menarik.

Sufian dalam ucapan perasmiannya berkata, beliau menyokong sepenuhnya penganjuran program yang memanfaatkan semua pihak terutamanya yang mendatangkan kesan positif kepada hubungan sosial dalam masyarakat.

“Program sebegini bukan sahaja mempereratkan hubungan kekeluargaan dan kejiranan, malah menjadi platform menyemai nilai MADANI dalam kehidupan bermasyarakat dan pihak saya iaitu Majlis Daerah Limbang sentiasa menyokong usaha komuniti yang membawa manfaat sosial, ekonomi dan budaya,” katanya lagi.

Beliau turut mencadangkan agar Luagan Danau dimajukan sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, menjadikannya identiti kawasan tersebut.

“Saya mencadangkan penganjuran pertandingan bot laju kawalan jauh peringkat antarabangsa pada masa hadapan di sini kerana ia mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara.” tambah Sufian.

Mohd Said (kiri) bersama perserta pertandingan memancing yang berjaya memancing ikan terbesar.

Permainan bot laju kawalan jauh di tasik semula jadi Luagan Danau sememangnya menjadi tarikan utama dan berjaya mempromosikan potensi lokasi tersebut sebagai kawasan riadah dan pelancongan luar bandar.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Limbang Mohd Said Kalihing turut berkata program Komuniti MADANI ini merupakan antara inisiatif Jabatan Penerangan Malaysia dalam memperkasakan Komuniti MADANI sebagai pemacu pembangunan sosial dan ekonomi luar bandar.

Pertandingan Mewarna Kategori Warga Emas dan Kanak-kanak.

“Melalui program sebegini, masyarakat dapat berganding bahu dengan agensi kerajaan, memupuk semangat kerjasama, memperkukuh jaringan dan perpaduan dalam komuniti malah juga memperlihatkan usaha bersama semua pihak menjadikan Luagan Danau sebagai lokasi pelancongan luar bandar yang berdaya saing dan mampan,” jelasnya.

Perasmian Pintu Gerbang Kampung Batu Danau, simbol pembangunan komuniti tempatan merupakan acara rasmi program dan pelbagai program sampingan lain turut diadakan seperti pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan warga emas, pertandingan memancing, sesi berkaraoke secara santai dan bot laju kawalan jauh yang mencuri tumpuan pengunjung.

-RJ-

Tinggalkan komen anda