
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 28 Jul (MalaysiaAktif) – Seorang remaja perempuan berumur 15 tahun yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang dari sekolah di Taman Ehsan, Kepong pada 23 Julai lalu, berjaya ditemui dalam keadaan selamat di Batu Pahat, Johor malam tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata pihaknya menerima laporan kehilangan remaja berkenaan pada 23 Julai jam lebih kurang 2.03 petang oleh datuk mangsa berumur 67 tahun.
“Pengadu memaklumkan cucunya tidak pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan dan usaha mencari telah dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes yang diklasifikasikan sebagai kes orang hilang itu disiasat Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Mohammad Hisham Mohd Rahman@Amir Hamzah.
Menurut Noor Ariffin, hasil maklumat orang awam membawa kepada penemuan mangsa oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Johor pada kira-kira jam 9 malam, semalam.
“Remaja tersebut ditemui dalam keadaan selamat dan telah dibawa ke Hospital Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa kini masih menerima rawatan di hospital berkenaan,” katanya.
-AA-






