
Laporan/foto: Mohd Firdaus Mahmud (Kedah)
BALING, 16 Jul (MalaysiaAktif) – Kehalusan seni pertukangan senjata tradisional Melayu masih terus dipertahankan, meskipun arus modenisasi kian mencabar kelestariannya.
Melayu dan senjata tradisi seperti keris, tumbuk lada, parang lading serta tombak sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada kisah kepahlawanan panglima dan hulubalang di zaman silam.
Bagi masyarakat Melayu, senjata bukan sekadar alat mempertahankan diri, malah menjadi simbol maruah, kebesaran adat serta budaya yang diwarisi turun-temurun.
Lebih istimewa, setiap bilah senjata lengkap dengan ‘pakaian’ atau sarungnya, dihiasi ukiran halus yang membuktikan kehalusan budi dan seni orang Melayu sejak dahulu lagi.

Sebahagian dari hulu keris pelanggan yang akan dibuat ukiran halus.
Antara pewaris seni pertukangan ini ialah Azizi Ghazali, 42, dari Kampung Pak Bong, Baling, Kedah yang gigih mempertahankan legasi seni ukiran halus pada senjata tradisi, khususnya keris.
Graduan Desa Ukiran Kayu, Besut, Terengganu itu mendapat tunjuk ajar daripada pengukir terkenal Fauzi Yunos atau Jemala Dewa – anak murid kepada Allahyarham Nor Haiza Noordin, Adiguru Seni Ukiran Halus Negara.
“Untuk menyiapkan sesuatu motif ukiran halus pada keris memerlukan ketekunan dan kesabaran tinggi. Tidak boleh ada kesilapan kerana ia akan mencacatkan motif ukiran dan menyalahi falsafah yang diwariskan,” jelasnya.
Menurutnya, antara motif popular ukiran ‘pakaian’ keris ialah ketumbit, bayang praksi dan kerak nasi, yang kebanyakannya berasaskan unsur tumbuhan herba.
“Bahan utama sarung senjata pula dipilih daripada kayu berkualiti seperti sena, ketengga, kemuning emas, kenaung dan beberapa jenis kayu tahan lama.
“Kayu ini bukan sahaja indah diukir, malah mampu kekal utuh sebagai pusaka warisan generasi mendatang,” katanya.

Azizi (kanan) bersama tokoh Adiguru Seni Ukir Halus Negara, Allahyarham Norhaiza Noordin (tengah).
Cabaran utama Azizi adalah memastikan setiap tempahan ukiran memenuhi kehendak pelanggan sambil mengekalkan falsafah dan keaslian motif.
Proses menghasilkan hulu keris terutamanya jenis Tajong pula katanya boleh memakan masa berbulan-bulan bergantung kepada tahap kerumitan corak.
Hasil kerja tangan Azizi mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peminat senjata Melayu dan kolektor keris di seluruh Semenanjung Malaysia.
Usaha beliau di bawah perusahaannya Si Pengukir Lara Kraf Warisan (SLK Warisan Enterprise) berjaya membawa seni ukiran halus senjata Melayu terus bertapak kukuh di pentas warisan negara.
-RI





