
Laporan/foto: Sarah Nur Saad/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 18 Jul (MalaysiaAktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Idris Shah, Gopeng bakal mewakili Perak setelah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Pengisahan Kenegaraan @ Kelab Malaysiaku Peringkat Negeri Perak 2025, kelmarin.

Tokoh Rosli Dhobi diangkat bagi mewakili Perak ke pentas Kebangsaan.
Membawa nama kumpulan Perjuangan S.I.S melalui Kelab Malaysiaku di bawah seliaan Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Kampar, sekolah berkenaan mengangkat tokoh Rosli Dhobi untuk dipentaskan di Auditorium RTM Ipoh, di sini.
Menurut ahli kumpulan, Prithika David, 15, Rosli Dhobi diangkat kerana keberaniannya di usia muda sedikit sebanyak memberikan inspirasi kepada mereka yang seusia namun berbeza zaman.
Prithika yang pertama kali mengikuti pertandingan itu mengakui pada awalnya kurang yakin untuk turut serta, namun tetap memutuskan untuk menyahut cabaran bersama rakannya yang lain.

Pertandingan Pengisahan Kenegaraan @ Kelab Malaysiaku Peringkat Negeri Perak 2025 telah dilaksanakan dengan penuh penghayatan terhadap kisah sejarah dan tokoh negara.
“Apabila cikgu memanggil saya dan membuka ruang untuk menjadi salah seorang pelakon atau pencerita, saya rasa saya tidak mampu lakukannya, tetapi cikgu yang banyak berikan galakan dan bimbingan sehinggalah kami berjaya menjadi juara di peringkat negeri,” katanya.
Kemenangan itu membolehkan SMK Idris Shah membawa pulang wang tunai RM1,000, manakala SMK Sungai Kruit, Sungkai selaku Naib Johan (RM700), dan tempat ketiga dimenangi SMK Lambor Kiri, Bota (RM500).
Kesemua pemenang juga membawa pulang sijil serta plak.
Selain itu, SMK Dato’ Abdul Rahman Yaakub, SMK Tasek Damai dan SMK Raja Shahriman, masing-masing membawa pulang RM 300, sijil dan plak selaku pemenang saguhati.
-RI






