
Laporan/foto: Aini Aziz/Zaharudin Ismail
KUALA TERENGGANU, 22 Jul (MalaysiaAktif) – Persembahan menyentuh hati yang mengangkat kisah hidup Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee membawa tuah buat Kumpulan Lantera STunT dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai, Marang apabila dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan @ Kelab Malaysiaku 2025 Peringkat Negeri Terengganu, kelmarin.

Abdul Razak ketika menyampaikan ucapan perasmian.
Menurut guru pembimbing, Cikgu Aliza Abdul Rahman, latihan intensif pada setiap petang selepas sesi pembelajaran telah memantapkan penguasaan watak oleh pelajarnya.
“Kami tekankan penguasaan dialog, tempo, nyanyian, penghayatan watak serta gerak pentas. Dalam tempoh seminggu sebelum pertandingan, latihan dijalankan dengan bersungguh-sungguh dan para pelajar perlu benar-benar menghayati serta memahami dialog dan watak yang mereka bawa,” katanya, di sini.
Penceritaan mengangkat tokoh legenda tanah air P. Ramlee, dipilih setelah perbincangan bersama guru sejarah dan pengetua sekolah bagi memastikan kesesuaian dari aspek penampilan dan kemampuan pelajar membawa watak.

Kumpulan peserta, guru pengiring, dan barisan urus setia merakam kenangan bersama selepas Pertandingan Pengisahan Kenegaraan @ Kelab Malaysiaku 2025 Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung meriah di Dewan Nadwah, SESTER.
“Persembahan kami menampilkan dua pelakon yang membawa watak P. Ramlee ketika zaman mudanya, memfokuskan kepada permulaan kerjaya seni beliau sehingga ke detik kegemilangan yang sarat dengan pengajaran dan inspirasi,” katanya.
Sebagai persiapan ke peringkat kebangsaan, penambahbaikan katanya akan dilakukan termasuk penyesuaian skrip dan pematuhan kepada garis panduan pertandingan di peringkat seterusnya.
Kemenangan itu bukan sahaja membanggakan warga SMK Tun Telanai, malah menjadi bukti bahawa semangat kenegaraan dan warisan seni boleh disampaikan secara kreatif oleh generasi muda.
Pertandingan anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu itu dirasmikan Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Abdul Razak Muda di Dewan Nadwah, Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu (SESTER).
-RI





