
Laporan/foto : Kamarulzaman Ahmad
DALAT, 18 Jul (MalaysiaAktif) – Kalam suci al-Quran kembali bergema sempena Majlis Tilawah al-Quran yang berlangsung dalam suasana penuh penghayatan dan keberkatan, semalam yang sekali gus menzahirkan kecintaan umat Islam setempat terhadap kitabullah sebagai panduan hidup sepanjang zaman.
Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Bahagian Mukah yang berlangsung semalam di Dewan Utama, Kompleks Kebajikan Dalat melibatkan penyertaan 11 peserta terdiri daripada lima Qari dan enam Qariah mewakili setiap daerah dalam Bahagian Mukah.

Fatimah menyampaikan ucapan penangguhan majlis tilawah.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah dalam ucapan penangguhannya berkata penganjuran tahunan itu amat bermakna kepada umat Islam kerana program tersebut bukan sahaja sebagai platform memperdengarkan bacaan al-Quran malah sebagai manifestasi ketaatan kepada ajaran agama yang menyumbang ke arah perpaduan dan kesatuan ummah.
“Majlis seperti ini merupakan satu usaha murni dalam memperkukuh kekuatan kerohanian dan spiritual umat Islam termasuklah menjadi tunjang penting kepada setiap perjuangan dan inisiatif kita dalam membangunkan masyarakat yang seimbang dari segi jasmani dan rohani,” ujar beliau lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu turut menyeru agar al-Quran dijadikan panduan hidup dan amalan membaca termasuk memahami isi kandungannya sebagai rutin harian agar memperoleh keberkatan dan pahala daripada Allah SWT.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan khas bagi menaik taraf beberapa surau dan masjid daif di daerah Dalat bagi memastikan kemudahan beribadah yang lebih selesa dan kondusif.

Fatimah menyampaikan hadiah Johan Qari kepada Mohammad Nazrin.
“Kita harapkan surau dan masjid yang dinaik taraf ini bukan sahaja berfungsi sebagai tempat solat, tetapi turut dimanfaatkan sebagai pusat pembelajaran al-Quran dan bimbingan ibadah kepada generasi muda,” jelas beliau.
Tilawah kali ini menyaksikan Mohammad Nazrin Othman dari Daro dinobatkan sebagai Johan Qari manakala Hasipah Brawi dari Matu diumumkan sebagai Johan Qariah.
Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili dan Pegawai Agama Islam Bahagian Mukah Muhammad Adib Saini.
-RJ-






