
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Usaha berterusan ke arah kelestarian alam sekitar diterjemahkan menerusi penubuhan Tzu Chi Eco-Awareness Gallery oleh Pertubuhan Buddhist Tzu-Chi Merits Malaysia, Cawangan Johor, yang berperanan bukan sahaja sebagai pusat pendidikan kitar semula, malah sebagai simbol semangat sukarelawan dalam memelihara alam sekitar secara menyeluruh.
Pengerusinya Lim Chiew Teng berkata galeri berkenaan dibangunkan pada 2016 di kawasan yang dahulunya merupakan kawasan berlumpur dan dipenuhi sampah di tepi sungai berhampiran Sutera Mall, Skudai, sebelum mula beroperasi pada April 2018.

Operasi galeri disokong oleh kira-kira lapan pasukan sukarelawan kitar semula di bawah Tzu Chi Johor Bahru, dengan keanggotaan antara 100 hingga 200 orang setiap pasukan.
“Kami membersihkan kawasan itu dan membangunkannya sebagai pusat aktiviti pendidikan kitar semula. Segala bahan binaan utama seperti bata, perabot dan tiang diperoleh hasil sumbangan barangan kitar semula yang dikumpulkan oleh para sukarelawan,” katanya ketika ditemui di galeri tersebut, kelmarin.
Menurutnya pembinaan galeri itu dilaksanakan secara kreatif dan lestari, termasuk penggunaan pintu utama yang diperoleh dari pusat Tzu Chi di Kedah dan hiasan buluh yang diimport khas dari Taiwan, yang digunakan semula selepas persembahan pentas.
“Kami seboleh mungkin menggunakan bahan terpakai dan boleh dikitar semula. Hanya bahan yang tidak dapat diperoleh secara kitar semula sahaja akan dibeli baharu,” jelasnya.
Lim berkata pembinaan galeri yang mengambil masa hampir dua tahun itu dilaksanakan sepenuhnya tanpa menggunakan sebarang kutipan derma daripada orang ramai, sejajar dengan prinsip integriti dan ketelusan yang menjadi teras pertubuhan tersebut.
Galeri berkenaan turut menampilkan pameran bertemakan prinsip 5R – Refuse (Rethink), Reduce, Reuse, Repair dan Recycle – yang dikemas kini setiap tiga hingga enam bulan bagi memastikan kandungan kekal relevan dan menarik minat pengunjung.
“Antara aktiviti yang dijalankan ialah jualan amal Flea Market, kelas latihan sukarelawan dan kursus berkaitan kitar semula yang diadakan pada minggu kedua setiap bulan. Program ini terbuka kepada orang awam tanpa sebarang bayaran, kecuali kos bahan,” katanya.
Lim turut memaklumkan bahawa operasi galeri disokong oleh kira-kira lapan pasukan sukarelawan kitar semula di bawah Tzu Chi Johor Bahru, dengan keanggotaan antara 100 hingga 200 orang setiap pasukan.
“Kami juga mengadakan aktiviti lain seperti latihan drama, sesi bacaan bersama dan mesyuarat sukarelawan. Jualan amal yang dianjurkan mampu menarik kehadiran sehingga 400 sukarelawan,” katanya.

Sukarelawan membaik pulih buluh yang diimport dari Taiwan selepas ia digunakan dalam perhiasan persembahan di negara tersebut.
Beliau turut berharap galeri tersebut dapat berfungsi sebagai pusat pendidikan komuniti yang menyemai kesedaran tentang amalan kitar semula, bukan sahaja secara fizikal tetapi juga menyentuh aspek kesedaran dalaman manusia.
“Kita mahu masyarakat memahami bahawa amalan kitar semula bukan hanya perbuatan luaran, tetapi mencerminkan sikap – agar kita tidak tamak, lebih prihatin terhadap masyarakat dan menjaga alam sekitar demi generasi akan datang,” katanya mengakhiri temu bual.
Orang ramai boleh mengunjungi Tzu Chi Eco-Awareness Gallery pada hari Sabtu dari pukul 2.00 hingga 5.00 petang dan Ahad dari 10.00 pagi hingga 1.00 tengah haridan 2.00 hingga 5.00 petang.
Untuk lawatan berkumpulan, pengunjung dinasihatkan membuat tempahan awal dengan menghubungi talian 07-5596086.
-RI





