
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Intan Iryani Mohamad (Kedah)
JITRA, 14 Jul (MalaysiaAktif) – Ketekunan dan semangat tinggi dalam bidang pertanian membuahkan hasil apabila seorang pengusaha buah nanas varieti MD2 dari Changlun, Mawardi Haji Chik, 61, berjaya menjadikan ladangnya sebagai antara pengeluar nanas berkualiti tinggi di kawasan utara tanah air.

Hasil buah nanas di Ladang terletak di Kampung Darat, Changlun.
Ladang milik beliau yang terletak di Kampung Darat, Changlun, mula diusahakan secara kecil-kecilan sejak tahun 2018. Kini, dengan keluasan lebih 10 ekar, Mawardi mampu mengeluarkan ribuan biji nanas MD2 setiap musim, dengan sebahagiannya berjaya menembusi pasaran pasaraya dan pemborong premium.
“Saya mula berjinak dengan tanaman ini selepas pencen dan sebelum itu semasa peringkat permulaan saya tidak begitu yakin dengan industri nanas ini tetapi setelah dibantu oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Negeri Kedah yang memberi bantuan dari segi khidmat nasihat, kursus dan anak-anak benih,” ujarnya ketika ditemui di ladangnya semalam.
Nanas MD2 dikenali sebagai antara varieti terbaik kerana kandungan gula semula jadinya yang tinggi, kurang asid dan tidak ‘pedih’ di lidah apabila dimakan. Selain itu, bentuknya yang cantik dan seragam menjadikan ia pilihan utama pasar antarabangsa.

Ladang nanas yang diusahakan oleh Mawardi.
Tambah Mawardi, kejayaan beliau tidak datang dengan mudah. Cabaran utama termasuk serangan perosak, kos baja yang meningkat serta kekurangan tenaga kerja tempatan. Namun dengan sokongan isteri dan anak-anak, serta bimbingan daripada pihak Jabatan Pertanian Kedah dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), beliau terus bersemangat mengembangkan usahanya.
Kerajaan Negeri Kedah juga menyasarkan pertambahan kawasan penanaman nanas MD2 di daerah Kubang Pasu sebagai usaha mempelbagaikan hasil pertanian negeri dan meningkatkan pendapatan pengusaha tempatan.
Dengan komitmen dan ketekunan yang ditunjukkan, Mawardi Haji Chik membuktikan bahawa bidang pertanian mampu menjadi sumber pendapatan lumayan dan berdaya saing, selari dengan matlamat menjadikan Kedah sebagai hab agromakanan utara.
-RI





