Skip to main content
Berita TimurBerita TempatanKelantan

180 Murid SK Tebing Tinggi Semarakkan Sambutan Merdeka di Guillemard Bridge

By 29 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Farihah Mohamed Rahim

TANAH MERAH, 29 Ogos (MalaysiaAktif) – Menjelang sambutan Hari Kebangsaan, 180 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Tinggi menyerlahkan semangat patriotisme apabila berarak sejauh lebih dua kilometer menuju Jambatan Guillemard, Kusial River, Tanah Merah sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga.

Suasana meriah di Jambatan Guillemard Brigde Kusial Tanah Merah.

Perarakan yang bermula seawal pagi 7.45 pagi itu disertai murid Tahun Satu hingga Tahun Enam bersama guru, ibu bapa dan komuniti setempat, dengan masing-masing tampil bergaya dalam pakaian tradisional.

Program dimulakan dengan taklimat keselamatan serta doa bagi memastikan perjalanan berlangsung lancar dan selamat.

Guru Besar SK Tebing Tinggi, Mohd Jailani Abdullah, berkata penglibatan murid-murid ini menjadi bukti semangat cintakan negara terus subur dalam jiwa generasi muda.

“Program ini amat bermakna kerana bukan sahaja memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan, malah mampu meninggalkan kesan mendalam kepada jiwa anak-anak untuk menghargai erti kemerdekaan. Ia akan menjadi kenangan indah yang dibawa hingga dewasa,” katanya, semalam.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong penganjuran program sehingga selari dengan tema Hari Kebangsaan 2025, ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’.

Murid mengibarkan Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan di Jambatan Guillemard Brigde Kusial Tanah Merah Kelantan.

Sementara itu, Nor Fadilah Mahmud, 41, yang turut hadir bersama anaknya, berkata program seumpama ini penting untuk mendidik generasi baharu memahami makna sebenar kemerdekaan.

“Tergambar wajah ceria anak-anak yang seronok menyambut hari kebangsaan saban tahun. Aktiviti seperti ini mendidik mereka supaya lebih menghargai negara sejak kecil lagi. Saya berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.

Program ini bukan sahaja menyemarakkan suasana sekolah dengan kibaran Jalur Gemilang dan warna-warni patriotik, malah berjaya meningkatkan kesedaran tentang pentingnya mempertahankan kedaulatan negara dalam kalangan pelajar dan masyarakat.

-RI

Tinggalkan komen anda