Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

CSR Merdeka: Bachok Angkat Semangat Kebersihan Sebagai Jiwa Kemerdekaan

By 29 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Shafira Mat Hussin

BACHOK, 29 Ogos (MalaysiaAktif) – Sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025, jajahan Bachok mencipta kelainan dengan penganjuran program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertema ‘Bersihkan 8 Pantai Tanda Cinta Negara’.

Inisiatif ini menghimpunkan jabatan kerajaan, agensi tempatan, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan komuniti setempat dalam usaha menyemai semangat patriotisme melalui tindakan menjaga kelestarian alam sekitar.

Aktiviti pembersihan dan gotong – royong disekitar kawasan pantai dalam usaha memelihara keindahan pantai yang mendapat tarikan pengunjung.

Sebanyak lapan pantai utama menjadi lokasi program iaitu Pantai Irama, Pantai Impian, Pantai Melawi, Pantai Kandis, Pantai Senok, Pantai Kuala Gel, Pantai Kemayang dan Pantai Kubang Golok.

Pemilihan lokasi ini melambangkan peranan pantai sebagai mercu tanda pelancongan dan khazanah semula jadi negeri.

Ketua Jajahan Bachok Mohd Zaki Yusoff, berkata program ini membawa mesej lebih besar daripada sekadar pembersihan pantai.

“Objektif utama adalah untuk menggelorakan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat. Kesungguhan lebih 50 jabatan dan agensi di daerah Bachok berganding bahu menjaga kelestarian pantai membuktikan semangat kecintaan terhadap negara,” katanya.

Selain gotong-royong membersihkan pantai, program turut dimeriahkan dengan jelajah bermotosikal melibatkan 68 buah motosikal sebagai simbolik 68 tahun kemerdekaan. Konvoi ini menjelajah pesisir pantai, sekali gus mempromosikan keindahan Bachok dan menyebarkan mesej cintakan tanah air.

Penglibatan 50 jabatan dan agensi dari seluruh Jajahan Bachok sempena program.

Penganjuran ini turut disertai pelajar dan guru yang bertindak sebagai sukarelawan, memberi peluang kepada generasi muda menimba pengalaman dalam aktiviti kemasyarakatan. Kehadiran mereka membuktikan pendidikan juga merangkumi tanggungjawab sosial terhadap komuniti dan alam sekitar.

Program yang berlangsung semalam itu bermula seawal 8,00 pagi dengan taklimat keselamatan sebelum peserta diagihkan mengikut pantai masing-masing.

Aktiviti meliputi kutipan sampah, pengasingan bahan kitar semula dan pembersihan persisiran. Suasana gotong-royong jelas terpancar apabila penduduk tempatan, penjawat awam dan peniaga kecil turut berganding bahu menjayakan misi ini.

Usaha ini bukan sahaja memperindah pantai-pantai di Bachok, malah membawa mesej simbolik bahawa cinta kepada negara dapat dizahirkan melalui penjagaan alam sekitar. Semangat perpaduan, tanggungjawab bersama dan keprihatinan terhadap generasi akan datang menjadi manifestasi sebenar kemerdekaan.

Program ini wajar diteruskan bukan sahaja di Bachok, malah di seluruh negara agar budaya menjaga kebersihan menjadi identiti rakyat Malaysia yang benar-benar cintakan tanah air.

-RI

Tinggalkan komen anda