
Laporan/foto: M Zakry Chan/Facebook Ab Rauf Yusoh
KUALA LINGGI 30 Ogos (Malaysiaaktif)– Eco-Cruise Sungai Linggi yang dirasmika Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menjadi satu lagi tarikan baharu yang memperkayakan landskap ekopelancongan Melaka.

Ketua Menteri Melaka ketika berucap dalam majlis tersebut.
Ab Rauf berkata kerajaan negeri Melaka cukup berbangga dengan produk berkenaan kerana sejak mula beroperasi, ia menerima sambutan sungguh menggalakkan dengan lebih 3,000 pengunjung direkodkan telah menaiki eco-cruise ini.
“Melihat potensi besar itu, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menambah dua buah bot baharu berkapasiti 30 penumpang setiap satu serta dilengkapi jaket keselamatan, menjadikan jumlah keseluruhan empat buah bot dengan sasaran lebih 5,000 pengunjung menjelang hujung tahun.

Sungai Linggi menjadi satu lagi tarikan baharu yang memperkayakan landskap ekopelancongan Melaka.
“Selain menyusuri aliran indah Sungai Linggi, pengunjung dapat menikmati panorama hutan paya bakau, habitat semula jadi serta pelbagai hentian menarik seperti Jeti Sabak Arang, Jeti Kota Simpang, Jeti Taman Lokan dan Jeti Telok Berembang,” katanya kepada media, di sini semalam.
Menurut Ab Rauf lagi bersempena Hari Pelancongan Sedunia 2025, kerajaan negeri menawarkan promosi potongan tiket khas RM10 bagi setiap pakej mulai 15 September hingga 31 Disember 2025.
-RI





