
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 11 Ogos (MalaysiaAktif) – Festival Budaya Malindo menjadi platform penting bagi memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam bidang kebudayaan, perdagangan dan persaudaraan.
Program berkenaan selari dengan hasrat kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk mengukuhkan kecintaan rakyat terhadap kepelbagaian budaya di negeri tersebut.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata Malaysia dan Indonesia adalah dua negara yang sentiasa berkongsi budaya menjadikannya sebagai platform untuk mengukuhkan jalinan persaudaraan.

.Nizam berucap merasmikan Festival Budaya Malindo di Tawau.
“Festival seperti ini akan mengeratkan lagi hubungan dua negara. Segala isu yang timbul tidak wajar menjadi penghalang kerana hubungan Malaysia–Indonesia sudah lama terjalin erat. Apa-apa isu melibatkan kedaulatan akan diurus dengan baik demi memastikan kedua-dua negara sentiasa seiring dan sejalan.
“Festival Budaya Malindo ini diharap dapat diteruskan setiap tahun dengan sokongan berterusan daripada agensi kerajaan, pihak swasta dan NGO demi memastikan legasi persahabatan Malaysia–Indonesia kekal harmoni dan sejahtera,” katanya ketika merasmikan Festival Budaya Malindo, di sini pada Sabtu.
Tambah beliau, Tawau mempunyai keunikan tersendiri sebagai daerah yang setiap tahun menganjurkan Festival Kebudayaan Antarabangsa yang perlu dipertahankan dan diperluaskan untuk menfaat bersama.
“Usaha seperti ini bukan sahaja mengangkat budaya tempatan, malah mengukuhkan hubungan serantau memandangkan Tawau dan Kalimantan berada di daratan yang sama,” tambahnya.

Pertunjukan baju tradisional pelbagai kaum mengangkat warisan budaya tempatan.
“Kita sudah biasa mengadakan perbincangan Sosek Malindo untuk membangunkan pelbagai sektor bersama. Budaya adalah jambatan yang mampu merapatkan lagi rakyat di kedua-dua negara,” ujarnya.
Program tersebut adalah anjuran bersama Persatuan Muslimah Tijarah Sabah (Permata Tijarah), Dharmawanita Persatuan Konsulat Republik Indonesia Tawau dan Pertubuhan Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau (PKMT).
-RJ-





