Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Gegaran Lemah Magnitud 3.2 Dikesan di Segamat, Tiada Kerosakan Dilaporkan

By 27 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

SEGAMAT, 27 Ogos (MalaysiaAktif) – Satu gegaran lemah berukuran magnitud 3.2 dilaporkan berlaku di Segamat pada jam 8.59 pagi tadi, namun tiada kerosakan harta benda, kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Pegawai Daerah Segamat Mohd Ezzuddin Sanusi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Segamat berkata gegaran itu berpusat di kawasan berhampiran Segamat dan turut dirasai di beberapa kawasan sekitar daerah berkenaan, selain di Johor dan selatan Pahang.

Mohd Ezzuddin menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan merujuk sumber rasmi MetMalaysia serta agensi kerajaan bagi perkembangan terkini.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sedang memantau keadaan ini dengan rapi, manakala pihak berkuasa keselamatan dan agensi berkaitan sedang menjalankan pemantauan lanjut bagi memastikan keadaan di daerah Segamat berada dalam keadaan selamat, khususnya untuk orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya bertenang serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih, sebaliknya mendapatkan perkembangan terkini melalui sumber rasmi MetMalaysia dan agensi kerajaan berkaitan.

“Orang awam juga digalakkan melaporkan sebarang insiden kecemasan kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera,” katanya.

Pada 24 Ogos lalu, MetMalaysia mengesahkan berlaku gempa bumi lemah di Segamat pada jam 6.13 pagi dengan kekuatan magnitud 4.1.

Ia disusuli gegaran kedua jam 9 pagi di Yong Peng, kira-kira 28 kilometer (km) di barat laut Kluang dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10km.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Segamat melalui Pejabat Daerah Segamat akan terus menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

-FN-

Tinggalkan komen anda