
Laporan/foto: Nurulaini/Azrul (Kulai)
KULAI, 26 Ogos (MalaysiaAktif) – Gunung Pulai di daerah Kulai terus menjadi destinasi pilihan orang ramai terutama pada hujung minggu sebagai lokasi riadah dan rekreasi.
Keindahan laluan mendaki yang mencabar serta kewujudan air terjun di kawasan tersebut menambahkan lagi tarikan alam semula jadi yang menenangkan, menjadikannya pilihan utama penduduk setempat dan juga pelancong luar.

Mercu tanda di pintu masuk Taman Eko Rimba Gunung Pulai.
Selain aktiviti mendaki, pengunjung turut berpeluang menikmati suasana hutan tropika yang masih terpelihara serta kesejukan air terjun yang sering menjadi tumpuan keluarga untuk berkelah.
Laluan yang disediakan juga sesuai digunakan sama ada oleh pendaki baharu mahupun berpengalaman.
Seorang pengunjung, Johan Alias, 40, dari Kuala Lumpur, berkata beliau teruja dapat meluangkan masa mendaki di Gunung Pulai bersama rakan-rakan.
“Saya sukakan suasana di sini yang tenang dan mendamaikan, laluan mendaki tidak terlalu sukar dan ianya sesuai untuk semua peringkat umu serta air terjun yang jernih dan sejuk menjadikan pengalaman ini lebih menyeronokkan,” katanya ketika ditemui MalaysiaAktif, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, pengalaman mendaki di Gunung Pulai memberi peluang untuk beliau melepaskan tekanan kerja serta mengeratkan hubungan bersama rakan-rakan.

Suasana di sekitar kawasan air terjun Gunung Pulai.
“Bagi saya, aktiviti mendaki seperti ini bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah dapat mengeratkan silaturahim kerana kita sama-sama berkongsi pengalaman sepanjang perjalanan,” ujarnya.
Gunung Pulai bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah, malah turut menyumbang kepada perkembangan sektor pelancongan negeri Johor.
Dengan kemudahan yang tersedia, kawasan ini diyakini terus menjadi destinasi ekopelancongan berpotensi menarik lebih ramai pengunjung pada masa hadapan.
-RI





