Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Hari Bertemu Pelanggan JKR Perkasa Hubungan dengan Masyarakat

By 5 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 5 Ogos (MalaysiaAktif) – Kehadiran orang ramai pada Hari Bertemu Pelanggan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Tapak Pasar Kemboja, di sini hari ini menjadi isyarat positif kesediaan masyarakat untuk terlibat dalam pembangunan infrastruktur tempatan.

Program Hari Bertemu Pelanggan anjuran JKR Daerah Pendang.

Ia juga memberi petanda keinginan pengunjung dalam meningkatkan pemahaman tentang peranan JKR serta mewujudkan jalinan komunikasi dua hala yang lebih efektif antara jabatan dan komuniti.

Salah seorang pengunjung, Azmi Shaffi, 47, berkata program sebegitu memberi peluang kepada orang ramai mengemukakan isu dan permasalahan yang berlaku di kawasan setempat.

“Apabila ada hari bertemu pelanggan sebegini, orang ramai boleh mendapatkan maklum balas secara terus daripada petugas tanpa perlu hadir ke pejabat untuk membuat aduan dan lain-lain urusan,” katanya kepada MalaysiaAktif.

Sementara itu, Jurutera Daerah Pendang Ir. Khadijah Abdul Razak berkata program berkenaan sebahagian daripada usaha pihaknya mempromosikan kempen I Am JKR yang menekankan budaya kerja, nilai organisasi serta peranan kepimpinan dalam mencapai perkhidmatan.

Jurutera Daerah Pendang (empat dari kiri) bergambar kenangan bersama petugas dan pengunjung yang hadir ke lokasi program.

“Inisiatif ini bertujuan memperkukuh hubungan antara warga JKR dan masyarakat setempat melalui pendekatan mesra pelanggan, sekali gus memperlihatkan komitmen jabatan dalam menyampaikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.

“Program ini merupakan medium terbaik untuk kami mendengar, memahami dan menangani isu serta aduan berkaitan kemudahan awam secara lebih telus dan cepat,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan termasuk pameran, kaunter aduan dan sesi interaksi terbuka bersama pegawai JKR.

-RI

Tinggalkan komen anda