
Laporan/foto: Lyana Athirah Mohd Saad/Mohd Annasa’e Mohd Shukor (Pokok Sena)
POKOK SENA, 30 Ogos (MalaysiaAktif) – Program Jiwa@Komuniti MADANI Mukim Gajah Mati dan Bukit Lada berlangsung meriah.

Pelepasan peserta konvoi.
Lebih 30 buah motosikal, tiga buah kereta dan dua buah kenderaan Jabatan Penerangan menyertai konvoi sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2025 pagi semalam.
Konvoi yang bermula dari Kampung Bendang Lanjut melalui laluan Kampung Pokok Pauh, Bukit Payung, Kampung Bukit dan Bendang Raja sebelum berakhir di Kampung Kubang Lerek itu turut disertai komuniti setempat termasuk golongan belia dan kanak-kanak.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Mukim Gajah Mati dan Bukit Lada Khairul Azman Che Pi, program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme, malah mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti.

Peserta cilik turut serta dalam konvoi sambutan Bulan Kebangsaan.
“Program sebegini wajar diteruskan kerana ia menjadi wadah penyatuan masyarakat pelbagai lapisan umur untuk bersama-sama menghayati erti kemerdekaan,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Komuniti MADANI Mukim Gajah Mati dan Bukit Lada Mohd Annasa’e Mohd Shukor, turut menyampaikan taklimat mengenai isu buli, selain menekankan kepentingan melindungi generasi muda daripada gejala sosial.
-RI





