
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/BERNAMA (Johor)
JOHOR BAHRU, 25 Ogos (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Johor menyarankan agar masjid dan surau di seluruh negeri menganjurkan majlis doa selamat serta solat hajat bagi memohon keselamatan dan kesejahteraan rakyat susulan kejadian gempa kecil yang dilaporkan berlaku di daerah Segamat, semalam .
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata arahan tersebut dikeluarkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) untuk menyelaras penganjuran ibadah berkenaan.
“Berikutan gempa kecil di daerah Segamat, saya telah mengarahkan JAINJ agar menyarankan penganjuran doa selamat dan solat hajat di masjid dan surau bagi memohon keselamatan dan kesejahteraan berterusan kepada rakyat dan Negeri Johor Darul Ta’zim,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, semalam.
Beliau turut berdoa agar negeri Johor sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT dan rakyat terus diberi keselamatan serta kesejahteraan.
Gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 direkodkan berlaku di Segamat pagi semalam, namun tidak mengakibatkan sebarang kerosakan.
-RI





