Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Pengorbanan Pejuang Jadi Iktibar, Warisan Keamanan Perlu Dipertahan – Lidam

By 25 Ogos 2025Ogos 27th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Hamzah Bohari/ Daniel Gagat (Sarawak)

SONG, 25 Ogos (MalaysiaAktif) – Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025, komuniti di Rumah Limbi, Temalat di sini disarankan agar sentiasa mengenang kembali pengorbanan pejuang terdahulu yang mempertahankan keamanan tanah air.

Lidam berucap merasmikan program Program Kibar Jalur Gemilang, di sini, kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan berkata keamanan yang dinikmati hari ini tidak hadir dengan mudah, sebaliknya melalui keringat, darah dan pengorbanan nenek moyang serta pasukan keselamatan yang berjuang demi masa depan generasi sekarang.

“Jangan padamkan sejarah pengorbanan mereka daripada ingatan rakyat, sebaliknya terus jadikan sebagai iktibar dan pendorong untuk mengisi kemerdekaan hari ini melalui perkara yang penting membabitkan ilmu, pembangunan dan perpaduan sesama kita,” katanya ketika merasmikan program tersebut, di sini, kelmarin.

Beliau turut menambah pentingnya untuk golongan muda, menghayati nilai kebersamaan, perpaduan dan cinta tanah air agar warisan keamanan dapat terus dikekalkan.

Menyentuh mengenai perjuangan pasukan keselamatan menentang pengganas komunis di Song suatu ketika dahulu, beliau turut memaklumkan bagaimana kawasan tersebut dan pedalaman Katibas pernah menjadi saksi getirnya perjuangan menentang pengganas komunis pada era 60-an.

Pos kawalan di situ juga katanya berfungsi sebagai benteng hadapan mempertahankan Sarawak daripada ancaman penjajah dan pengaruh ideologi pengganas.

“Pada era ini pula, cabaran utama masyarakat tidak lagi berperang dengan senjata tetapi berdepan ancaman perpecahan, kealpaan terhadap sejarah dan kelekaan terhadap ilmu pengetahuan.

Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Temalat Alysis Samat berkata program itu membuktikan rakyat Malaysia sentiasa bersatu hati mengibarkan lambang kebanggaan negara itu yang bukan sekadar sehelai bendera tetapi ia membawa makna yang cukup besar membabitkan maruah dan kedaulatan negara.

-RJ-

Tinggalkan komen anda