Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Jualan Agro MADANI Ringankan Kos Hidup, Rakyat Lega Berbelanja

By 1 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)

BANDAR BAHARU, 1 Ogos (MalaysiaAktif) – Program Jualan Agro MADANI di Pekan Lubuk Buntar, di sini kelmarin mendapat sambutan menggalakkan penduduk setempat.

Nor Rahila mempromosi harga murah setiap barangan Jualan Agro MADANI manakala Marzita Md Hussain (kiri) turut membantu melariskan jualan.

Inisiatif itu dilihat tepat pada masanya ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar, khususnya dalam kalangan B40 dan berpendapatan sederhana.

Menurut Timbalan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Kedah Nor Rahila Mohd Yusof, program itu menawarkan diskaun harga sehingga 30 peratus bagi barangan terpilih.

“Contohnya, beras import 5 kilogram hanya RM15, jauh lebih murah daripada harga pasaran. Selain itu, beras, ayam, ikan, sayur dan barangan asas lain turut dijual dengan harga istimewa,” katanya kepada MalaysiaAktif ketika ditemui di tapak jualan bekenaan.

Menurutnya, objektif utama program adalah membantu rakyat mendapatkan keperluan harian pada harga berpatutan, mengurangkan beban pengeluaran isi rumah, serta membuka peluang kepada usahawan tani dan pengeluar tempatan memasarkan produk mereka terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah.

Salah seorang pengunjung, Marzita Md Hussain, 56, meluahkan rasa puas hati dengan harga yang ditawarkan.

“Saya sangat bersyukur. Ayam seekor hanya RM8, ikan kembung RM5.70 sekilo (sekilogram), sayur pun segar-segar belaka. Kalau beli di kedai biasa memang lebih mahal. Program macam ini patut selalu dibuat,” katanya sambil memegang beberapa beg plastik penuh barangan keperluan.

Beras adalah barangan keperluan yang paling cepat laris kerana menawarkan harga serendah RM12 bagi 5 kilogram.

Pengunjung bukan sahaja pulang dengan barang yang lebih murah, tetapi juga dengan senyuman tanda bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada rakyat.

Program Jualan Agro MADANI selari dengan agenda Ekonomi MADANI dan aspirasi kerajaan untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga barang.

Ia juga mencerminkan keprihatinan agensi-agensi kerajaan dalam mendekati komuniti secara langsung dan berkesan.

-RI

Tinggalkan komen anda