
Laporan/ foto : Ainie Elah (Sarawak)
SARIKEI, 4 Ogos (MalaysiaAktif) – Pesta Sarikei 2025 sekali lagi membuktikan peranannya sebagai pentas terbaik menyatukan komuniti apabila acara tarik tali yang berlangsung selama dua hari di Kompleks Sukan Sarikei berjaya menarik penyertaan dan sokongan padu daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Pasukan-pasukan yang bertanding acara tarik tali Pesta Sarikei.
Acara anjuran Kelab Tarik Tali Sarikei (KTTS) dengan kerjasama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) Bahagian Sarikei dan Pejabat Residen Sarikei adalah sebahagian daripada pengisian utama pesta itu yang berlangsung dari 28 Julai hingga 3 Ogos 2025.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh bergambar kenangan bersama Pasukan Trass Merah Juara Tarik Tali Kategori Lelaki.
Bagi kategori lelaki 720 kilogram (kg) ke bawah, pasukan Trass Merah dari Kabong muncul juara selepas menewaskan KTTS Black Mamba B dalam perlawanan akhir yang penuh aksi dan semangat juang.
Sementara itu, bagi kategori wanita 680kg menyaksikan MEFA Tug Of War dari Sibu menundukkan Triple Hook Women untuk merangkul kejuaraan.
Kedua-dua pasukan juara membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 bersama trofi kejuaraan dan sijil penghargaan sebagai pengiktirafan atas prestasi cemerlang mereka.
Pengurus Pasukan Trass Merah, Nazrul Hisyam, menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti bahawa semangat kesukanan dan warisan rakyat terus hidup dan berkembang.

Johan Kategori Wanita Pasukan MEFA Tug Of War bergambar bersama Len Talif (tujuh kanan, baris belakang).
“Pesta Sarikei merupakan pentas terbaik untuk menyatukan komuniti melalui sukan tradisi dan perlu diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui semalam.
Pengurus Pasukan MEFA Tug Of War, Suria Wasli, turut menyokong inisiatif berkenaan dan menyatakan bahawa kejohanan itu menjadi pemangkin kepada program berimpak tinggi yang lebih menyeluruh untuk warga Sarikei.
-RJ-





