Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Dua Beradik Muda Curi Tumpuan di Kejohanan Dart Tertutup Sarawak

By 4 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Iswandy Kassim (Sarawak)

PANTU, 4 Ogos (MalaysiaAktif) – Pasangan adik beradik dari Sri Aman mencuri perhatian apabila muncul antara peserta termuda Kejohanan Dart Tertutup Sarawak sempena Pesta Pantu Double Dart 2025 yang berlangsung di Dewan Sri Pantu, pada 2 dan 3 Ogos lalu.

Harith fokus ke arah sasaran.

Adam Harris, 16, dan adiknya Harith Haziq 15, berjaya memberikan saingan kepada peserta berpengalaman dari seluruh Sarawak, sekali gus menyerlahkan potensi golongan muda dalam sukan berasaskan fokus dan ketepatan itu.

Menurut Harith, minat terhadap sukan dart bermula sejak dua tahun lalu apabila sering melihat abangnya berlatih di rumah.

“Kami mula berlatih bersama dan menyertai beberapa pertandingan tempatan di sekitar Sri Aman dan dari situ, keyakinan kami semakin meningkat,” katanya ketika ditemui selepas kejohanan berakhir, semalam.

Harith sebelum ini berjaya mara ke peringkat suku akhir dalam kategori individu sempena Pertandingan Dart Pesta Saratok, selain mencapai peringkat separuh akhir dalam Kejohanan 1000 Liga Bahagian Sri Aman, baru-baru ini.

Adam melempar dart tepat ke sasaran.

Sementara itu, Adam berkata kejohanan itu merupakan penyertaan kelima mereka sebagai pasangan berpasukan dan kali ketiga di peringkat negeri.

“Kami tidak sangka mampu mara ke pusingan kalah mati dan sekalipun tidak membawa pulang kejuaraan, pengalaman ini sangat berharga,” ujar Adam yang turut aktif dalam sukan tinju dan pernah mewakili Bahagian Sri Aman.

Bagi kedua-dua adik-beradik ini, sukan dart bukan sahaja menjadi aktiviti riadah, malah medium membina disiplin dan kemahiran mengawal emosi selain turut menekankan kepentingan menjaga keseimbangan antara sukan dan pelajaran.

Harith yang menghidap asma kronik, mengakui memilih dart sebagai alternatif yang sesuai dengan tahap kesihatannya.

Adam dan Harith bersama saingan mereka di Pantu.

“Dart mengajar kami untuk fokus, bertenang dan hormat pada lawan. Ini peluang terbaik bagi remaja seperti saya kekal aktif walaupun ada kekangan kesihatan,” jelas beliau.

Tidak dinafikan kejayaan mereka juga didorong oleh sokongan padu ibu bapa yang sentiasa hadir di lokasi kejohanan serta membantu menyediakan kelengkapan latihan di rumah.

“Mak dan ayah banyak berkorban demi kami, termasuk menyediakan papan dart dan membawa kami ke kejohanan walaupun jauh,” tambah Adam pula.

Majlis penangguhan kejohanan telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Pantu Raca Mulong mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN Balai Ringin Datuk Snowdan Lawan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda