Skip to main content
Berita TempatanSarawak

KMJG Bawa Semangat Patriotisme Ke SMK Sungai Paoh

By 30 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Magdellina Alfred Jeho/ Collin Kumar Ngalang (Sarawak)

SARIKEI, 30 Ogos (MalaysiaAktif) – Majlis Perasmian Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 di Dewan Sri Paoh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Paoh, Sarikei berlangsung meriah dengan kibaran Jalur Gemilang yang membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.

Lau menyampaikan ucapan perasmian sambutan KMJG.

Program yang berlangsung semalam dengan tema Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, menekankan perpaduan, keadilan dan kesejahteraan sosial, seiring aspirasi Sarawak Maju Makmur 2030.

Ketika berucap pada program tersebut, Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei Lau Ngie Tung menyeru warga pendidik dan pelajar sekolah berkenaan agar mengibarkan Jalur Gemilang di rumah dan sekolah sebagai tanda cintakan negara.

“Mengibarkan Jalur Gemilang bukan hanya sekadar memeriahkan Hari Kebangsaan tetapi juga memperkukuhkan semangat kebangsaan dan kesatuan rakyat Malaysia,” kata Lau lagi.

Persembahan bertajuk Mosaic Of Malaysia oleh Pasukan Choral Speaking SMK Sungai Paoh.

KMJG yang menerima sambutan hangat di sini membuktikan bahawa semangat cintakan negara terus subur dalam jiwa generasi muda Sarikei, menjadikan Jalur Gemilang bukan sekadar bendera, tetapi lambang jati diri dan harapan masa depan negara.

SMK Sungai Paoh merupakan antara lokasi persinggahan konvoi KMJG Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak yang ketika ini sedang bergerak ke setiap pelusuk Sarawak membawa mesej kenegaraan dan patriotisme kepada setiap lapisan masyarakat di sini.

-RJ-

Tinggalkan komen anda