
Laporan/ foto : Norlia Mili./ Cassidy Lisut (Sarawak)
KUCHING, 30 Ogos (MalaysiaAktif) – Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail bersama Pengarah Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Mohd Shahrim Hussin mengunjungi beberapa pesara kerajaan sempena Program Ziarah MyPESARA di sekitar Kuching, petang kelmarin.
Datuk Mohd Shahrim berkata program tersebut bertujuan untuk mendekati pesara dengan lebih rapat serta melihat keperluan mereka bagi memastikan bantuan dapat diberikan khususnya ketika diperlukan.
“Pesara adalah golongan istimewa yang perlu disantuni dan kebajikan mereka mesti sentiasa terpelihara, bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memastikan semua golongan rakyat menikmati perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Mohd Bakhari dan Mohd Shahrim (dua dari kanan) mengunjungi Sarbini di rumahnya.
Antara yang menerima kunjungan ialah Joneh Rigut, 78, pesara Jabatan Penjara Malaysia Sarawak yang berkhidmat selama 32 tahun dan kini menghidap angin ahmar selain bekas pesakit kanser, Sarbini Hassan, 74, pesara Jabatan Ketua Menteri Sarawak yang menghidap penyakit jantung dan buah pinggang.
Balu kepada pesara Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Sarawak Allahyarham Awang Mohamad Awang Jalek iaitu Dayang Kamariah Awang Kipli, 70, yang mempunyai dua anak orang kurang upaya (OKU) juga turut dilawati Mohd Bakhari dan Mohd Shahrim.
Mereka menerima pelbagai sumbangan termasuk kerusi roda, susu formula, lampin pakai buang, bakul makanan dan sijil penghargaan sebagai tanda jasa dan pengorbanan sepanjang berkhidmat dengan kerajaan.

Mohd Bakhari (kiri) menyantuni Joneh.
Program inisiatif Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) bersama Bahagian Pencen JPA itu juga menjadi platform perkongsian maklum balas dan cadangan mengenai penambahbaikan urusan pencen serta isu persaraan lain.
Ziarah MyPESARA diadakan secara konsisten di seluruh negara sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap dedikasi dan bakti pesara, selaras nilai ‘Empati Rakyat’ dalam H.E.M.A.T.
Di Sarawak sahaja, program tersebut telah menyantuni lebih 30 ahli keluarga pesara dengan kerjasama kerajaan negeri, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (ICU) Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
-RJ-





