Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Pejabat Sultan Perak Tepis Dakwaan Terdapat Majlis Perkahwinan Diraja

By 4 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sarah Nur Saad/Ammar Hasif (Perak)

KUALA KANGSAR, 4 Ogos (MalaysiaAktif) – Pejabat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak menepis dengan tegas kandungan video oleh pemilik akaun TikTok ‘The King’ yang mendakwa akan berlangsungnya Istiadat Perkahwinan DiRaja Perak di Istana Iskandariah, di sini pada 7 Ogos sehingga 17 Ogos ini.

Dato’ Pengelola Bijaya DiRaja kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Meor Hezbullah Meor Abd Malik dalam kenyataan dikeluarkan hari ini berkata kandungan laporan akaun TikTok berkenaan sama sekali tidak benar dan dibimbangi boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

“Pejabat Duli Yang Maha Mulia tidak mengenali dan tidak ada sebarang hubungan dengan pemilik akaun TikTok tersebut, serta tidak melantik mana-mana pihak atau pemilik akaun media sosial sebagai jurucakap Istana Perak bagi sebarang majlis di Istana Perak termasuk Majlis Perkahwinan Diraja,” katanya.

Meor Hezbullah berkata satu laporan polis telah dibuat pada 31 Julai lalu demi melindungi nama baik Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Kerabat Diraja dan Istana Perak daripada dicemari ekoran hantaran video berdurasi 58 saat itu.

“Melalui kenyataan media ini, ditegaskan bahawa tiada sebarang liputan siaran secara langsung Majlis Akad Nikah untuk tontonan umum dan tiada Majlis Persandingan DiRaja dilangsungkan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak pada jam 11.30 pagi, 7 Ogos 2025, serta tiada sebarang aktiviti melibatkan Pasangan DiRaja ke Tamparuli, Sabah pada 17 Ogos 2025.

“Perbuatan yang tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat palsu perlu dihentikan bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan rakyat dan demi melindungi nama baik Istana Perak,” katanya.

Terdahulu, pemilik akaun TikTok ‘The King’ telah memuat naik video yang menyatakan bahawa satu Majlis Akad Nikah DiRaja akan berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar bermula 7 ogos sehingga 17 Ogos malah dapat ditonton siarannya selama tiga jam secara langsung di Astro serta Majlis Akad Nikah dan Berbedak turut dapat dipertontonkan bagi rakyat negeri Perak.

Video tersebut turut menyatakan kononnya Pasangan DiRaja tersebut akan berada di Tamparuli, Kampung Tinambak, Sabah pada 17 Ogos selama seminggu.

-RI

Tinggalkan komen anda