
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 25 Ogos (MalaysiaAktif) – Orang ramai diseru untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 melalui aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di peringkat komuniti dan kampung.

Mohd Hafiez (paling kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada salah seorang Ketua Komuniti MADANI.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan Mohd Hafiez Mohd Daud berkata aktiviti tersebut mampu menzahirkan rasa bangga individu sebagai rakyat Malaysia.
“Marilah kita menjadikan sambutan HKHM ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi sebagai satu detik penting untuk kita merayakan perpaduan dan memperbaharui tekad kita untuk terus membina Malaysia yang lebih sejahtera,” katanya semasa merasmikan Program JIWA@Komuniti MADANI: HKHM 2025 di Kampung Belukut, di sini kelmarin.
Jelasnya, program itu mencerminkan komitmen semua pihak untuk terus menyemarakkan dan menggelorakan program HKHM di Labuan.
“Kekuatan sesebuah negara bukan hanya bergantung kepada pencapaian ekonomi atau kemajuan infrastruktur semata-mata, tetapi lebih utama ialah perpaduan dalam komuniti.

Mohd Hafiez (paling kanan) menyampaikan hadiah kepada Juara Pertandingan Bintang Patriotik.
“Program seperti ini amat penting kerana ia memberi ruang kepada kita untuk sama-sama menzahirkan semangat patriotik dan kebersamaan selari maksud sebenar Komuniti MADANI, sebuah masyarakat yang bersatu padu, saling menghormati, dan cinta akan tanah air,” jelasnya.
Program berkenaan diisi pelbagai aktiviti seperti pertandingan bintang patriotik, deklamasi puisi dan penyerahan Jalur Gemilang dengan turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Labuan Azman Sipan, Ketua Kampung Belukut Asmadi Ahmad dan Ketua-Ketua Komuniti MADANI Labuan.
-RI





